1 Syawal 1440H / 5 Jun 2019
Assalamualaikum w.b.t.
Gema takbir di pagi raya sambil diiringi dendangan lagu raya menerusi peranti adikku telah memecah kesunyian kami di pagi aidil fitri. Alhamdulillah tahun ni berpagi raya berempat beradik. Bersama keluarga abang sulung bersama 5 orang anaknya dan adik bongsu bersama seorang heronya. Tahun ini juga tahun kedua kami beraya di KL disebabkan rumah kami di Rawang tak sempat disiapkan sepenuhnya dek serangan anai-anai yang semakin mengganas. Tangga seluruhnya dijadikan santapan mereka juga pintu dapur. Dahsyat juga.
Seperti rutin biasa, bersiap dan mengalas beberapa butir lemang sekadar memenuhi sunnah nabi yang mengamalkan santapan beberapa biji kurma sebelum keluar menunaikan solat sunat aidil fitri. Masjid dan surau di seluruh Selangor telahpun diumumkan akan memulakan solat sunat aidil fitri seawal 8.30 pagi. Kami menunaikan solat sunat aidil fitri di Masjid Ukay Perdana.
Seusai menunaikan solat sunat, sesi bersalaman dan pemberian duit raya diteruskan seperti biasa. Sebelum bergerak menziarahi rumah mertua abang sulungku, sempat merakamkan gambar kami sekeluarga.
Begitulah kurang lebih sambutan kami yang ala kadar di pagi 1 syawal. Disebabkan kebanyakan saudara-mara sebelah mak dan ayah sudahpun berada di kampung halaman, tak banyak rumah yang boleh diziarahi sementara berada di KL. Eh. Bukan tak banyak tapi takde langsung. Haha. Hanya ziarah keluarga mertua abang sulung saja sebelum mereka bergerak ke Teluk Intan, kampung mereka. Terus ayah memutuskan untuk bertolak ke kampung halaman kami di Perak pada sebelah petangnya.
Terkenang juga suasana raya masa kami 5 beradik kecil dulu. Masing-masing dah siap buat kiraan duit raya dan siap nak asingkan untuk beli barang-barang impian hati dan selebihnya simpan dalam bank untuk kegunaan masa depan. Dan masa kecil dulu juga kami selalunya akan pulang ke kampung sehari sebelum 1 syawal dan layan bermain bunga api di malam raya bersama sepupu sepapat. Kami akan bersolat sunat aidil fitri di masjid kampung halaman dan terus melawat kubur tok di lambor dan menziarahi saudara-mara di parit, batu gajah, ipoh dan sekitarnya. Meriah tu jangan nak kata, al-maklum dunia kanak-kanak ribena. Haha.
Dikesempatan ini penulis nak mengucapkan
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
MAAF ZAHIR & BATIN
Taqabballahu minna waminkum
Semoga Allah terima ibadah kami dan kalian semua sepanjang Ramadhan yang lalu. Ameen!
Wallahualam.
7.50am
5 Jun 2019 / 1 Syawal 1440H
Manjoi, Ipoh, Perak
Comments
Post a Comment