Kembali bertugas di Omihachiman, Jepun | Part 1

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah. Permusafiran kali keduaku ke Omihachiman Japan atas perihal kerja. Tempat kerja yang sama. Hotel yang sama. Tugasan yang sama. Orangnya pula hanya kurang seorang. Untuk kali ini hanya aku bersama bos saja yang bertugas.  Dan tempoh keberadaan kami di Jepun kali ini agak lama iaitu selama dua minggu. 


Seperti biasa, tugasan bermula pada hari Isnin. Kami akan bertolak dua hari awal. Penerbangan kami mendarat di Kansai International Airport (KIX) sekitar jam 3.45pm (waktu Jepun). Destinasi pertama kami ialah menuju ke Hostel Q Osaka, tempat penginapan yang ditempah awal dari Malaysia. Dari KIX kami mengambil Japan Railway dan turun di Namba Station. Di sana, aku singgah menunaikan solat Jamak Qasar di Prayer Room di level B1 Namba City Mall. Dan di sana juga kami sempat singgah di Information Center untuk membeli Osaka Kaiyu Ticket untuk memudahkan pergerakan kami untuk aktiviti keesokan harinya iaitu melawat Osaka Kaiyukan Aquarium. Tiket masuk Aquarium dan one day pass ticket untuk semua destinasi perkhidmatan subway dan city bus. Sangat menjimatkan. Selesai membeli tiket, terus kami mengheret muatan berpuluh kg menuju ke Hostel Q yang terletak bersebelahan dengan pekan Dotonburi setelah diteliti bersama staff di Information Center tadi. 










Untuk sebelah malam pula, kami hanya berlegar sekitar pekan Dotonburi dan Shinsaibashi saja untuk mencari santapan malam. Jalan punya jalan hanya kelihatan rata-rata kedai semuanya sesak dengan pelanggan-pelanggan yang beratur untuk menunggu giliran masuk ke dalam restoran. Belum kata nak tunggu order makan lagi. Tersangat padat dan ramai orang di sini mungkin gara-gara cuti umum yang jatuh pada hari Isnin depan. Ramai yang mengambil peluang membawa keluarga keluar makan angin dan berjalan-jalan. Aku pula? Setelah hampir beberapa kedai masuk dan mendapati aku perlu beratur paling sedikit 10 rang untuk membolehkan aku masuk ke dalam restoran, aku terus mengambil keputusan untuk dinner di McDonald saja pada malam tersebut. Menu yang sama seperti sebelum ini, Fish Fillet set large. Hampir terlupa, aku dan bos terpaksa berpecah untuk mencari makan sebab beliau terlampau banyak sangat pilihan yang beliau nak yang mana aku tak boleh nak menjamah. Faham faham je lah. Haha. Selesai makan malam, kami berjumpa kembali dan teruskan siri window shopping di sekitar Dotonburi. Seutas jam tangan berjaya disebat oleh aku gara-gara kehilangan jam yang sebelum ini. Motif pembelian hanya untuk memudahkan perkiraan masa solatku sepanjang berada di sini. Sebelum pulang ke hostel, kami singgah di satu kedai Takoyaki untuk membeli satu bungkusan. Katanya kedai Takoyaki ni no. 1 pilihan orang di sini. Bau pulak sedap. Sebat sebungkus bawak balik makan di hostel. 






Keesokan paginya seperti biasa aku bangkit seawal 5 pagi untuk tunaikan solat Subuh. Di sini syuruk sekitar jam 5.57 pagi. Bersarapan pagi di ruangan dapur hostel tersebut. Berbekalkan frozen Nasi Lemak dan Cup Udon yang di bawa dari Malaysia. Orang berjimat la katakan. Haha. Bedal dua menu pagi ni untuk tampung tenaga sepanjang sehari beraktiviti. As usual, permusafiran takkan lengkap jika tiada destinasi menarik yang cuba untuk diselitkan. Berikut adalah antara tempat yang sempat dilawati :

1. Tennoji Zoo
Untuk perjalanan ke sini, kami menaiki subway Midosuji Line dari Namba Station ke Tennoji Station. Luggage-luggage yang seberat 38kg kesemuanya kami letakkan di locker di Namba Station. Dua loker diperlukan dengan kos JPY500 setiap satu. Perjalanan kami diteruskan dengan menggunakan Osaka Kaiyu Ticket terus menuju ke Tennoji Station. Hanya dengan memiliki tiket ini, kami dibenarkan untk mengakses kesemua station subway di sekitar Osaka juga termasuk perkhidmatan city bus selama sehari. Tapi untuk perjalanan kami kali ini hanya menggunakan perkhidmatan subway saja. Tiba saja di Tennoji Station, kami keluar melalui exit 1 dan berjalan selama lebih kurang 10 minit dan tiba di pintu masuk Tennoji Zoo. Secara ringkasnya memang bermacam spesies ada dalam ni. Cuma kuantiti setiap spesiesnya tersangat sedikit. Ada tu hanya seekor pun ada. Sebagai contoh kanggaroo, unta dan harimau. Dan banyak lagi sebenarnya. Tapi overall cukup sekadar untuk aku mengenali serba sedikit spesies yang tak pernah aku jumpa sebelum ini. Kami hanya meluangkan masa lebih kurang 2 jam lebih saja di sini dan terus bergegas ke destinasi seterusnya. Disebabkan di sini jam 5 petang sudah gelap, maka agak terkejar-kejar kami untuk menghabiskan siri lawatan kami untuk sehari ini.




2. Osaka Kaiyukan Aquarium
Dari Tennoji Zoo, kami mengambil subway Midosuji Line terus ke Hommachi Station dan menukar ke Chuo Line terus berhenti di Osakako Station. Dari Osakako Station hanya berjalan lebih kurang 10 minit untuk tiba di Osaka Kaiyukan Aquarium. Dalam perjalanan ke sana, kami singgah di satu kedai Udon untuk mengalas perut makan tengahari. Agak murah. Dalam pemerhatian aku, setiap tempat tarikan pelancongan mesti ada kelibat kedai Udon kecil yang menjual dengan harga yang pada aku berpatutan. Selesai saja makan, terus kami bergerak menuju ke Osaka Kaiyukan Aquarium. Setibanya di sana, terdapat ramai lautan manusia di sekitar taman di bahagian hadapan Mall yang terletak bersebelahan dengan Osaka Kaiyukan Aquarium itu. Antara mereka ada yang berdiri, ada yang duduk, ada yang berjalan bermundar-mandir ke sana sini sambil mengadap phone. Rupanya semua tengah khusyuk nak tangkap pokemon. Aduhai. Terkejut sebab pertama kali melihat depan mata kekhusyukan manusia mengadap game Pokemon Go ini. Dan aku terus melewati kawasan tersebut dan menuju ke hadapan bangunan Osaka Kaiyukan Aquarium untuk menangkap beberapa gambar. Di sini, kami meluangkan masa selama lebih kurang 2 jam lebih juga. Bangunan ini mempunyai 8 tingkat yang mana setiap tingkat menempatkan pelbagai jenis spesies binatang lautan. Dan untuk tiga tingkat yang di sebelah tengah bangunan ditempatkan satu aquarium besar setinggi atau kedalamannya merangkumi tiga tingkat bangunan tersebut. Di dalamnya terdapat pelbagai jenis spesies hidupan laut. Nak ingat nama saintifiknya tersangatlah sukar sebab nak sebut pun susah. Haha. 




3. Tempozan Giant Ferris Wheel
Selesai saja meluangkan masa bersama hidupan darat (di Tennoji Zoo) dan hidupan laut (di Osaka Kaiyukan Aquarium), tiba pula masa kami untuk meluangkan masa menikmati pemandangan indah dari puncak Tempozan Village menerusi Tempozan Giant Ferris Wheel. Harga per entry JPY800. Tapi kami dapat harga promosi JPY700 disebabkan kami membeli Osaka Kaiyu Ticket. Pada mulanya kami masih ragu-ragu sama ada hendak naik atau tidak. Maka kami memutuskan untuk tampil ke kaunternya terlebih dahulu. Jika ramai manusia, terus angkat kaki pulang. Tapi jika kurang orangnya, mungkin masih boleh dipertimbangkan untuk teruskan hajat kami. Dan saat kami tiba di kaunter, terkejut bila melihat kaunter kosong. Al-maklum, di sekitar kawasan ini penuh dengan manusia dan kebetulan Jepun menyambut cuti umum minggu ini. Maka kami terus menghulurkan duit ke kaunter untuk membeli tiket dan naik ke tingkat atas untuk ke bahagian laluan untuk naik ke gondola. Alangkah terkejut bila kami dapati tersangat sesak lautan manusia beratur di bahagian atas untuk naik gondola. Berat rasa hati nak teruskan hajat sebab perlu menunggu lebih kurang 40 minit untuk naik. Tapi disebabkan telah tercetak di atas tiket tersebut "Non refundable", maka terpaksalah kami gagahkan diri menahan sabar dan kelenguhan kaki untuk teruskan misi menaiki gondola. Di sini ada dua jenis gondola, General Gondola dan See-through Gondola. Rasa tak perlu diterangkan pun dah boleh faham based on namanya. Haha. Untuk See-through gondola perlu menunggu 30 minit selang setiap General Gondola. Maka sebab tak nak bazirkan masa, kami hanya memilih General Gondola sebab hajat kami hanya untuk merasa pengalaman dan untuk melihat pemandangan dari atas saja. Bukan untuk mencabar kegayatan diri. Satu pusingan penuh ferris wheel tersebut memakan masa lebih kurang 20 minit. Bermakna minit ke 10 kami akan berada di puncak ferris wheel tersebut. Hanphone dan Yicam sentiasa terdakap erat di kedua tanganku. Sentiasa menanti timing dan view yang cantik untuk memulakan sesi 'shooting'. Haha. Dan kebetulan juga timing kami naik merupakan masa yang sama matahari terbenam. View superb! Alhamdulillah. 



Lepas beberapa minit matahari terbenam, kami terus bergegas menuju ke Osakako Station untuk kembali ke Namba. Untuk ke sana, kami mengambil subway Chuo Line, turun di Awaza Station dan menukar ke Sennichimae Line untuk terus ke Namba Station. Dari Namba kami mengambil luggage dan terus menuju ke Shin-Osaka Station dengan menaiki subway Midosuji Line. Dari Shin-Osaka, kami mengambil Japan Railway dan terus ke Omihachiman Station yang mengambil masa lebih kurang 40 minit dengan melewati lebih dari 11 buah station. Tapi disebabkan train yang kami naiki ialah Rapid Express, maka banyak juga station yang tak berhenti. Di situ banyak menjimatkan masa perjalanan kami. Kalau tidak, mungkin boleh cecah sejam lebih untuk tiba di Omihachiman.



Setibanya kami di Omihachiman Station, terus kami menuju ke AEON yang terletak bersebelahan dengan station tersebut untuk mencari USB adapter untuk kegunaan mengecas phone. Entah macam mana boleh rosak pula traveller adapter aku sebelum ini. Banyak jugak ujian lain yang aku hadapi bila jejaknya kaki di sini. Semoga setiap apa yang terjadi itu terselit seribu hikmah. Aku percaya pada ketentuan Allah. Kekadang aku sering menantikan sesuatu keajaiban bila saat selepas aku diuji. Maka berakhirlah misi kami untuk tiba di titik permulaan tugas kami yang bakal dimulakan. Nakayama-san telah pun lebih awal tiba dan check in di sini, Omihachiman Best Inn Hotel. Dan untuk malam tersebut, kami hanya dinner di hotel tersebut dengan berbekalkan bubur cup yang dibawa dari Malaysia. Nampak berjimat betul aku ni. Haha. 




Permusafiran kali ini memakan masa selama dua minggu. Maka untuk menulis kesemua kisah kami selama dua minggu tersangatlah panjang kalau nak diselitkan dalam satu post. Maka aku akan pecahkan kepada tiga post. InsyaAllah akan ada sambung untuk siri permusafiranku seterusnya. 

Wallahualam.

Nazrul Azam
12:05am
19/10/2016
Omihachiman, Japan

Comments