Politik yang tak berkesudahan & pengajarannya

 Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah. Tahniah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas kemenangan kalian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam. GRS adalah terdiri daripada gabungan 3 buah parti iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Banyak sebenarnya kita dapat pelajari sebagai orang luar (orang yang tak terlibat dalam politik Sabah) daripada ketegangan politik di Sabah sejak beberapa bulan yang lepas. Antaranya yang dapat aku coretkan di sini ialah :

 1. Serapat mana kita dengan seseorang sebagai kawan, ketahuilah selagi dia adalah insan yang bergelar manusia, dia pasti akan ada potensi untuk menjadi musuh kita. Dan atas sebab itu, serapat mana kita dengan seseorang jangan sesekali berkongsi kisah peribadi terutama yang negatif dengan mereka melainkan kita pasti perkongsian tersebut andai si dia menjadi musuh kita satu hari nanti tak akan menyebabkan aib kita tersebar dan dijadikan modal untuk menjatuhkan kita di kemudian hari.

Dalam senario politik, sudah pasti kita tahu sokongan terhadap seseorang dalam parti tak akan kekal. Dulu kau sokong Dato' Sri Najib Razak (DSNR) sebab dia Perdana Menteri (PM). Bila dia jatuh tersungkur, kau tukar sokong Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Bila kau lihat DSAI kemaruk nak jadi PM, kau tukar pula sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY). Yes. Aku tak nafikan dalam politik memang akan ada keperluan bila terjadi macam itu. Sebagai contoh sekiranya orang yang kita sokong telah berubah fokus iaitu bila mereka sudah tidak berada di landasan perjuangan yang sebenar. Pasti kita wajib untuk tinggalkan dia. Sebab Nabi sendiri pun pernah berpesan dalam banyak sabdanya yang manusia ini akan cepat teruji dengan 3 perkara iaitu harta, kuasa dan perempuan. Dan kita lihat senario politik Malaysia sekarang, memang jelas mereka yang dahulunya pernah menjanjikan kita bermacam benda tapi bila berjaya berada di kerusi tersebut, lain pula jadinya. Apa dorang tak tahu ke salah satu sifat orang munafik adalah mereka yang tak menepati janji. Nauzzubillah. Untuk berubah sokongan sebenarnya aku boleh terima lagi kalau betul pada tempatnya, yang aku nak fokuskan sebenarnya ialah sikap profesional kita dalam berpolitik. Bila menjadi musuh seseorang dalam politik tak perlulah sampai tahap menyerang peribadi mereka. Sebab dekat situ saja jelas menyaksikan kematangan seseorang dalam politik. Aku tak fokuskan kat parti tertentu, tapi aku fokuskan kepada semua parti termasuk BN, UMNO, PAS, PPBM, PKR, PAN, DAP dan yang lain. Sebab aku sebagai orang luar banyak perhatikan gelagat-gelagat ahli politik sekarang. Dahulunya masa menjadi kawan rapat, kemain kau puji dan angkat dia dalam setiap bait-bait ucapan kau. Tapi bila sudah menjadi musuh, habis semua aib dan peribadi dia kau nak serang dan hebahkan. Bagi aku tindakan sebegini satu tindakan yang sangat kurang matang! Walaupun kau dah berpuluh tahun dalam politik Malaysia, belum menjanjikan kau seorang yang matang dalam berpolitik. Lagi satu untuk mereka yang suka menganjing. Istilah orang zaman sekarang untuk mereka yang suka memerli tahap keterlaluan kepada seseorang. Aku memang dari dulu sangat tak gemar dengan orang yang suka menganjing. Bagi aku mereka yang menganjing ni sudah ibarat seperti 'anjing'. Kau cakap sesuatu ibarat anjing menyalak nak kan perhatian. Tapi bukan untuk betul-betul memberi manfaat kepada orang tersebut. Maaf kalau kata-kata aku agak kasar, tapi itulah tahap yang betul aku tak suka dengan orang yang menganjing. Dan sikap ini bukan saja dalam politik aku tak suka, tapi termasuk dalam budaya masyarakat zaman sekarang terutama dalam media sosial.

2. Kalau tiada orang yang di bawah, siapalah yang di atas. Yang ini aku tujukan kepada semua pemimpin dan aku khususkan dalam konteks politik. Bermaksud kalau kau tak berjaya 'menjaga' orang-orang yang memberi sokongan kat kau, kau akan jatuh juga satu hari nanti. 

Dalam konteks politik Sabah, kita dapat lihat seringkali ada budaya melompat parti. Bila kita sebagai pemimpin terlalu sibuk melayan kerenah politik sampai tanpa kita sedari ada dalam kalangan 'anak buah' kita sendiri hilang kepercayaan terhadap kita. Itulah yang berlaku kepada Datuk Seri Shafie Apdal (DSSA). Semudah itu saja aku lihat Tan Sri Musa Aman (TSMA) tampil mengatakan beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri. Mana datangnya majoriti? Pasti ada dalam kalangannya merupakan dahulunya penyokong DSSA. Dan kenapa mereka beralih sokongan? Pasti ada sebab. Yang itu pemimpin itu sendiri yang seharusnya bermuhasabah. Apa yang kau buat hinggakan ada dalam kalangan ponyokong kau beralih arah. 

 3. Sejauh mana pendirian kita tetap untuk sentiasa berada di atas prinsip dan perjuangan sebenar. Kita boleh lihat semasa peristiwa bersejarah kemenangan PH dalam PRU14 dua tahun yang lalu. Kita sama-sama saksikan selepas 60 tahun kerajaan diterajui oleh BN akhirnya tumpas. Kita tidak akan selamanya berada di atas. Cuma tewasnya BN tempoh hari kita dapat lihat dengan jelas bagaimana watak setiap pemimpin-pemimpin BN pada masa itu, sama ada mereka betul berpolitik atas dasar prinsip dan perjuangan atau mereka ini sekadar menumpang kapal orang dan bila nak karam terus melompat ke kapal lain supaya dapat terus berada di atas. Di manakah asas prinsip mereka sebenarnya? Walaupun aku bukanlah penyokong BN, tapi aku respek pemimpin BN yang masih kekal dalam BN sehingga kini. Mereka yang sama-sama berjuang memper'betul'kan BN dari dalaman hingga nak membaiki persepsi orang luar terhadap BN dari tahap akar umbi sehingga ke tahap pemimpinnya. Bukan mereka yang bila partinya jatuh, terus beralih ke parti lain dan siap menyumpah seranah parti lama mereka.

Kalau kita lihat situasi di Sabah pula. Jujur aku katakan dan aku pasti orang awam di luar sana juga sedari, semudah itu saja kita lihat wakil-wakil rakyat sana melompat parti. Bila tak puas hati sikit saja, terus lompat parti. Bila tukar kerajaan saja, terus lompat parti. Apa tak ada sekelumit rasa bersalah ke dalam hati mereka ini. Mereka ada yang dipilih atas dasar diri mereka memang seorang yang layak. Ada juga mereka yang dipilih atas dasar parti walaupun hakikatnya diri mereka tak layak. Maaf aku cakap secara general dan tak spesifik kepada mereka yang tertentu. Sebab aku sendiri sebagai orang luar pun rasa menyampah. Menyampah dengan perangai wakil rakyat yang semudah itu membuat keputusan untuk melompat parti. Mana pergi janji kalian yang nak berjuang untuk mendapatkan hak rakyat. Masa pilihan raya pung pang cakap dan janjikan macam-macam. Tapi akhirnya rasa tak puas hati saja dengan sesuatu terus melompat ke sana-sini. 

Aku boleh jamin, selagi tak ada pindaan dalam perlembagaan Malaysia tentang kegiatan melompat parti ini, selagi itulah kebarangkalian kerajaan negeri dan kerajaan pusat tak akan bertahan lama walaupun setelah berjaya mengharungi Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN). Sebab PRU14 dah menjadi bukti kuasa rakyat macam mana. Orang politik seharusnya sedar, zaman sekarang kedudukan kalian semua bergantung kepada rakyat. Dari sekecil-kecil jawatan sebagai exco kerajaan negeri hingga sebesar-besar jawatan Perdana Menteri. Semuanya bergantung kepada sokongan rakyat. Kalau rakyat tak pilih parti kalian untuk menerajui negeri, pasti kalian tak akan menjawat jawatan exco dalam kerajaan negeri. Kalau rakyat tak pilih parti kalian untuk menerajui negara, sudah pasti kalian tak akan merasa 'duduk' di Putrajaya. Apa rakyat nak hanyalah untuk kalian pastikan hak mereka sentiasa terbela.

Aku tak tahu kenapa tiba-tiba aku cakap pasal politik. Haha. Cuma mungkin kebetulan semalam baru saja selesai PRN Sabah dan Sabah akan dapat Ketua Menteri baru hari ini atau esok. Dan senario di Sabah kemungkinan besar akan berlaku di kerajaan pusat pula tak lama lagi disebabkan beberapa hari lalu, DSAI pula menyatakan beliau mendapat sokongan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baru menjatuhkan kerajaan sedia ada yang dipimpin oleh abah kita, TSMY. Atas sebab inilah aku rasa cerita politik Malaysia tahun 2020 adalah tersangat complicated dan tak berkesudahan. Aku pun tak tahu macam manalah agaknya beberapa puluh tahun dari sekarang, cucu-cicit kita akan belajar dalam buku teks sejarah sekolah tentang sejarah Malaysia pada tahun 2020 ini. Kalau betullah apa yang DSAI katakan, tak mustahil tahun 2020 sahaja, kita bakal ada 3 Perdana Menteri. Dahsyat. Tapi itulah hakikatnya kalau betul ia terjadi. 

Ok. Sekarang kita kecilkan skop kita kepada diri kita sendiri pula. Untuk ketiga-tiga point di atas ayuh kita sama-sama kaitkan untuk improvekan diri kita.

1. Point pertama : Serapat mana pun kita dengan seseorang sebagai 'kawan', jangan sesekali kita berkongsi cerita negatif kita. Senario ini aku rasa straight to the point. Orang yang pernah alami akan tersangat faham apa kesudahannya. Kenapa aku highlightkan sebagai kawan? Sebab kalau dia sahabat, kita akan selesa berkongsi segala masalah kita dengan dia sebab kita tahu dia yang sentiasa berada di sisi kita bila kita susah dan senang. Pokok ceritanya, ada benda yang kita boleh kongsikan dan ada benda yang kita tak boleh kongsikan. Kita sendiri tahu mana yang boleh kongsi dan mana yang tak boleh kongsi. Penerimaan manusia ini ada tiga jenis bila kita kongsikan berita duka sebagai contoh, sama ada dia tumpang simpati dengan masalah kita (juga menjadi good listener dan supporter untuk kita luahkan) atau dia suka dan lega bila nampak kita jatuh tersungkur atau dia buat tak tahu saja. Yang mana satu jenis kawan kita, insyaAllah kita sendiri boleh kenal.

2. Point kedua : Kalau tiada yang di bawah, pasti tiada yang di atas. Senario ini adalah untuk mereka yang bergelar pemimpin. Pemimpin ini banyak jenis. Boleh jadi pemimpin politik, bos di tempat kerja, suami sebagai ketua keluarga, ketua dalam sesuatu organisasi atau kelab dan seumpamanya. Pada aku benda paling penting bila kita jadi pemimpin adalah untuk pastikan semua anak buah kita faham dengan prinsip, 'destinasi' dan ruang lingkup 'perjalanan' kita untuk mencapai sesuatu objektif dan misi. Sebagai contoh, kita seorang ketua di jabatan tertentu. Destinasi kita adalah untuk mencapai KPI yang telah ditetapkan oleh pengurusan atasan. Perjalanan pula adalah bagaimana kita nak mencapai KPI tersebut. Ruang lingkup yang aku maksudkan adalah kita boleh buat macam-macam untuk mencapai KPI kita tapi tertakluk kepada apa yang boleh buat dan apa yang tak boleh buat. Anologi paling simple, kau nak kena siapkan kertas kerja sesuatu projek dan kau sangat memerlukan idea. Disebabkan kau nak dapat perhatian bos, kau pergi curi idea dari orang lain dan claim idea itu kau yang punya. Ini contoh cara kerja yang sangat tak beretika. Walaupun hakikatnya kau berjaya tiba di 'destinasi' nya, tapi 'perjalanan' nya dah menjangkaui ruang lingkup yang sepatutnya. So kita sebagai pemimpin kena pastikan kita ada prinsip. Pemimpin tanpa prinsip adalah sangat tak pemimpin. Yang faham saja faham. Dan tugas kau juga sebagai pemimpin untuk pastikan semua anak buah kau sentiasa berada di 'landasan' yang betul. Yang aku maksudkan 'landasan' adalah dalam pada dia bekerja untuk mencapai KPInya, pada masa yang sama juga dia perlu ada career growth, ada dapat manfaat sesuatu, kerjanya boleh jadi satu ibadah (bukan kerja yang berniat tak baik), selesa dengan environment bekerja, gaji bertepatan dengan workload yang diberikan, etc. Sebagai pemimpin, kau akan dipertanggungjawabkan oleh semua ini. Hadis Nabi juga ada menyatakan setiap antara kita adalah pemimpin. Dan kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kita pimpin.

3. Point ketiga : Berpendirian tetap dengan prinsip kita. Aku pasti setiap orang akan ada prinsip hidup masing-masing. So sejauh mana kita kekal atau tak dengan prinsip kita akan bergantung kepada tiga benda iaitu harta (kekayaan), kuasa (pangkat/kedudukan) dan wanita (nafsu) seperti yang aku nyatakan kat atas. Sebagai contoh kau seorang yang tak suka menipu, ditipu dan terlibat dengan penipuan. Satu hari kau diminta untuk menipu supaya dapat menyelamatkan keadaan syarikat yang semakin meruncing. Situasi sebegini akan menguji sejauh mana pendirian kita terhadap prinsip hidup kita. Sampai tahap kau akan cuba sedaya upaya untuk cari orang lain supaya buatkan 'kerja' ini rather than kau yang buat. Bercakap pasal menipu, percayalah sekali kau menipu. Kau akan berterusan menipu tanpa kau sedari. Sebab sikap itu secara tak langsung dah manjadi kebiasaan bila kita mula buat. Hati kita lama kelamaan akan rasa tak bersalah bila menipu. Itu pengalaman aku sendiri. Prinsip aku tak suka menipu, ditipu dan terlibat dalam penipuan. Tapi tanpa disedari, ada satu ketika yang sangat memaksa untuk aku menipu. Kau bayangkan mula-mula dulu sampai tak tidur dan berbulan-bulan aku fikirkan. Hati pula jangan nak dikata, sentiasa rasa tak tenang. Tapi selepas pada itu tanpa aku sedari, skop kerja aku memang akan secara tak langsung melibatkan aku dalam 'penipuan'. 'Penipuan' data check sheet, 'penipuan' informasi untuk diberikan kepada pelanggan, 'penipuan' sebab-musabab isu yang berlaku dan macam-macam. Atas dasar itu aku tak sabar nak musim COVID19 cepat beransur hilang supaya aku boleh cari kerja lain. Sebab aku dipaksa membuat sesuatu yang bertentangan dengan prinsip hidup aku. Dan aku tak tenang dan tak akan tenang.  


Maaf sangat hajat diri bukan lah nak sangat bercakap pasal politik. Lagi-lagi politik Malaysia. Dan aku pula bukan ada background sains politik pun. Nak berfakta pasal politik sangat jauh sekali. Aku cuma seorang warga marhaen bumiputra Malaysia yang inginkan negara kita berpolitik secara aman dan matang. Juga aku tak berniat nak berceloteh panjang, tapi sedar tak sedar dah panjang lebar aku menulis. Hajat diri hanya ingin mencoretkan serba-serbi yang terlintas dalam akal fikiran bila berdepan dengan situasi politik di Malaysia.

Ada seseorang yang berpengaruh pernah berpesan, bila kita nak berdiskusi pasal politik ini kita kena pastikan kita "Agree to disagree". Niat kita berdiskusi adalah untuk memberi pendapat dari sudut kerangka pemikiran dan ruang lingkup pengetahuan kita. Bukan memaksa orang untuk menerima pandangan kita. Sekadar celoteh di pagi Ahad.

Wallahualam.

10.55am 
27 September 2020
Bandar Botanic Klang

Comments