Tahun Baru 2016. 'AZAM' yang BARU!

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Sekian lama tak menaipkan sesuatu dalam ruangan ini. Tahun baru telahpun berkunjung tiba namun hakikat yang terjadi sepanjang tahun lepas tetap utuh dalam ingatan. Mungkin sukarnya Allah menggerakkan hatiku untuk melenyapkan memori tersebut kerana pada-NYA aku perlu akur dan terima akan apa yang berlaku. Mungkin sebagai pengajaran buat diriku. Ya. memang ku pernah dengar Pengalaman itu adalah GURU yang terbaik kerana ia beri peluang kita rasai dahulu kesakitannya dan dari situ mampu menyentap hati kita membuatkan kita belajar untuk menambah baik apa yang kurang pada kita. Persis semakin banyak kita belajar, semakin banyak kita tak tahu. Sama la juga kalau kita relatekan semakin banyak ujian yang terjadi atas diri kita, semakin kenal diri kita yang sebenar. Dan itu aku setuju! Alhamdulillah, mungkin dengan berkat mereka yang mendoakan, penyakitku tak separah dahulu. Namun, aku masih mengharapkan agar ianya pulih sepenuhnya. Amin.


Harap tak terlewat untuk ku ucapkan Selamat Tahun Baru buat pembaca mahupun sahabat-sahabat yang ada terlintas melayari laman sesawang ini. Mungkin penulisannya tak semeriah blogger-blogger tegar yang lebih informatif, namun seperti tajuk yang tertera, motif utama laman ini hanya sebagai perkongsian pengalaman dan pengajaran sepanjang aku bermusafir di atas muka bumi Allah SWT ini. Semoga tahun ini mampu menjadi titik tolak perubahan dalam hidupku. Buang yang keruh ambil yang jernih. Teringat pesanan dari salah seorang mentor motivasi aku, antara sebab utama kita selalu terasa 'down' bila hadapi sesuatu, ini adalah kerana kita terlampau fokus pada kekurangan tersebut. Kalau kita fokus kepada kelebihan yang kita ada lantas cuba memberi kelebihan kita itu untuk manfaat orang lain, insyaAllah motivasi kita akan sentiasa terpelihara. Dan antara point penting beliau untuk memastikan motivasi kita sentiasa terpelihara, kita perlu untuk memberi motivasi pada orang lain. Kajian telah dibuat menunjukkan mereka yang sentiasa memberi motivasi dan nasihat pada orang lain, motivasi mereka juga secara tak langsung turut berada di level yang tinggi. Dan itu aku setuju sangat. Pengalaman sendiri, bila ada ketika aku terasa down sangat, dan tetiba ada seorang sahabat yang inginkan nasihatku tentang sesuatu, dan aku berkongsi padanya pendapat dan nasihatku. Bila selesai aku memberi nasihat padanya, aku sedar secara tak langsung perasaan 'down' aku itu turut berlalu pergi.

Januari 2016, bulan pertama tahun 2016 kurang lebih tinggal 5 hari saja lagi nak ditutup tirainya. Dalam tempoh sebulan ini juga macam-macam telah terjadi. Antaranya nenek sebelah ayah, Mak tok meninggal dunia pada tanggal 6 Januari 2016 selepas maghrib. Setahun lebih beliau mengalami stroke dan dijaga oleh keluarga Pak Uda (adik ayahku) di Cheras. Sebak dan sedih rasa saat dan ketika aku menerima berita tersebut menerusi aplikasi Telegram. Pada malam beliau meninggal, adik beradik ayahku semua bermesyuarat tentang lokasi tanah perkuburan untuk dikebumikan kerana hajat arwah, beliau nak di kebumikan disebelah Tok (suaminya) di Lambor, Perak. Namun, hajatnya tak kesampaian. Setelah kata putus dibuat oleh semua anak-anaknya, dengan mengira faktor ruangan tanah sebelah kubur Tok tak berapa nak cukup dan kondisi tanah perkuburan di Lambor yang tak terurus, mereka telah berpakat untuk meneruskan pengebumian di Tanah Perkuburan Bandar Tun Hussein Onn Cheras. Alhamdulillah, perjalanan dan proses pengebumian berjalan dengan lancar. Al-Fatihah. Innalillahi wa inna ilaihi raajiun. Moga roh Mak Tok ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman. Amin.


Pada 13-18hb Januari pula aku bersama 5 orang sahabatku pergi mengembara di tanah seberang, negara yang dikategorikan sebagai antara negara termaju di dunia juga digelar sebagai negara matahari terbit yakni JEPUN. Alhamdulillah, sekian lama hajat nak merantau ke luar negara ini terpasang, akhirnya terlaksana juga tahun ini. Alhamdulillah. Padaku, satu pembukaan tirai 2016 yang sangat mengujakan. Alhamdulillah. InsyaAllah akan mendokumentasikan seluruh permusafiranku di sana untuk post-post mendatang. Catitannya sudah tersedia di aplikasi Notes dalam Galaxy Note 5 ku, hanya perlukan masa untuk ditaip dan dikongsikan bersama dalam laman ini. InsyaAllah. Moga bakal memberi manfaat buat yang membaca. Amin. Nantikan! Hehe.



Tahun 2016. Umurku kini mencecah 26 tahun (kalau ikut kiraan tahun). Namun kalau dikira mengikut tarikh lahir, umurku sekitar 25 tahun 3 bulan 21 hari dari tarikh catitanku ini. Seperti biasa, setiap tahun setiap antara kita pasti akan memperbaharui azam. Setiap tahun ada azamnya. Dan azamnya pula lebih kepada perancangan. Seperti tahun lepas, azamnya tak sepenuhnya terlaksana. Kerana kita sebagai umat Muhamamd SAW ni mesti percaya pada takdir dan perancangan Allah. Kita boleh merancang, namun perancang yang terbaik ialah Allah SWT. DIA lebih mengenal setiap hamba-NYA dari dalam sampai luar. Dan kerana itulah, aku masih kuat hingga kini. Kerana aku percaya setiap perancangan yang aku telah buat tak semestinya akan terlaksana. Kerana Allah lebih tahu masa yang terbaik untuk perancangan tersebut terlaksana. Hidup penuh dengan hikmah. Selagi kita berpegang dengan Islam, insyaAllah hidup kita akan sentiasa dipayungi rahmat-NYA. Amin.

Tahun ini perancangan ku agak banyak. Dari sudut kerjaya, passion, dan life. Nak senaraikan rasanya tak parlu. Kerana padaku, biarlah senarainya hanya aku dan Allah sahaja tahu, Biarlah dia yang menentukan. Dan kali ini sejujurkan aku tak meletakkan 100% pengharapan ianya akan berlaku. Orang kata belajar dari kesilapan lalu. Aku akan ingat pesanan mak dan adikku itu. Namun, usahanya akan ku letak setimpal dengan pengharapan seolah ia terlaksana. InsyaAllah. Doakan aku. Moga buku tahun 2016 ini lebih banyak suka dari duka. Moga lebih banyak hikmah dan kenangan bakal terukir dalam ingatan. Dan aku pohon sekiranya ada yang lebih baik Allah telah lama rencanakan untukku pada tahun ini, akanku terima dengan hati yang terbuka. Amin.

Sekadar ini dahulu. Moga Allah berikan ku kekuatan untuk terus menulis dan memberi manfaat pada yang memerlukan. InsyaAllah. Wallahu'alam.

Comments