Travelog Osaka 2016 - Day 1

Travelog : Osaka Trip 2016

Day 1 (12.01.2016)


Penerbangan kami dijadualkan akan berlepas pada jam 0030H. Kami tiba di tempat menunggu sekitar sejam awal dari pintu Gate P4 dibuka. Dalam tempoh menunggu, kami isikan waktu dengan menunaikan solat isyak dan cubaan mencari sedikit bekalan untuk mengalas perut namun gagal disebabkan kosnya yang agak tinggi. Maka bermuram durjana lah perut kami yang kosong dan penuh dengan kandungan Hydrchloric Acid.


Sebaik sahaja Gate P4 dibuka, kami memberi peluang golongan warga emas dan wanita untuk beratur dahulu dan selepas lebih 10 minit barulah kami bangkit mengatur langkah menuju ke barisan yang semakin memendek untuk melepasi gate P4. Kelihatan kebanyakan penumpang sudah bersiap sedia dengan pakaian sejuk masing-masing dan ada juga yang semangat memakainya sebelum masuk ke pesawat lagi. Betul excited nak merasa musim sejuk atau mungkin sebab keadaan badan yang tak biasa dengan tahap kesejukan kurang dari 10 degree. Selepas memberi passport serta boarding pass kepada pegawai yang bertugas di gate tersebut, aku terus menuju ke dalam pesawat mencari kedudukan seat yang tertulis 48D di label bahagian atasnya. Kedudukannya di hujung sebelah kiri berdekatan ekor pesawat, dengan penuh yakin aku terus duduk. Betul-betul di tepi tingkap pesawat. Diikuti sahabatku, Haslin yang memenuhi seat sebelah kananku. Bila keadaan sudah reda, kedua beg ku simpan erat di ruangan bawah seat hadapan dan seat belt terus dipasang. Dengan tiba-tiba, datang seorang perempuan berbangsa cina berkulit putih tampil berdiri dan melihat label seat di bahagian atas berdekatan ruangan simpanan barang. 


Terus tanpa segan silu beliau menegurku bahawa seat yang sedang ku duduki adalah merupakan seat beliau. Aku malu dan terus menawarkan diri untuk terus berpindah ke seat sebenarku yang terletak di kawasan tengah pesawat. Namun, atas pertimbangan beliau disebabkan aku duduk bersebelahan dengan sahabatku juga teman permusafiranku, beliau akhirnya benarkan untuk aku terus duduk di situ. Aku berterima kasih dan syukur sekurang-kurangnya berpeluang untuk menatap ruang tingkap pesawat semasa mendarat di Osaka nanti.


Seperti rutin normalku bila berada di dalam pesawat, walaupun harga makanannya agak mahal dan lebih dua kali ganda harga dari biasa, aku tetap akan membelinya. Kerana padaku terasa nikmat bila mengenakan juadah makan malam ketika berada di atas ruang udara. Tambahan, perut sudah lama berkicau dek dinner yang di ambil terlalu awal.


Hujan lebat menjadi saksi penerbangan kami sepanjang  perjalanan melepasi ruang udara Malaysia. Pesawat bergegar menusuri awan yang tebal dan kedengaran rintikan hujan berkocak menerusi dinding luar pesawat. Engin pesawat yang tiba-tiba kuat kedengaran persis pemandu yang menekan pedal minyak lebih untuk menambahkan pecutan melepasi rintangan. Dan kelihatan keadaan yang sedikit riuh kian tenang dan sepi tambahan gelapnya pesawat akibat lampu yang dimalapkan dan semua tertidur dengan nyenyak.

Tepat jam di tangan menunjukkan pukul 0500H waktu Jepun, lampu pesawat kembali dinyalakan lantas kedengaran kembali suara kapten pesawat memecah kesepian yang hampir 3 jam lamanya tadi. Makanan sarapan mula diedarkan oleh anak-anak kapal kepada penumpang yang sudah pun menempah awal makanan sewaktu membeli tiket diikuti dengan jualan kepada yang tidak menempah. Keadaan kembali sepi namun engin pesawat kembali kuat didengari. Mungkin juga kedudukan kerusiku yang berada di sekitar ekor pesawat menyebabkan bunyinya agak kuat. 

Jam menunjukkan tepat pukul 0615H dan aku bingkas bangun menuju ke tandas di bahagian belakang pesawat. Wudhuk ku ambil dan terus kembali ke tempat dudukku. Menunaikan solat subuh sambil duduk. Akibat langsung tiada kelibat matahari untuk dijadikan penanda kiblat, aku hanya berniat untuk mengadap kiblat dan meneruskan ibadah wajib yang tak boleh nak diqasarkan mahupun dijamakkan ini. Seusai solat terus aku mendapat telefon pintarku dan membuka aplikasi Al-Quran dan membaca beberapa helaian. Antara amalan yang cuba aku kekalkan setiap hari. Membaca Al-Quran selepas subuh. InsyaAllah. Doakan aku istiqamah. Amin.


Penerbangan D7 532 yang mengambil masa lebih 7 jam akhirnya selamat mendarat di Kansai International Airport sekitar jam 0749H. Suhu pada ketika itu dikhabarkan sekitar 12 degree celcius. Sebelum kami turun dari pesawat, kami diminta untuk mengisi Custom Declaration Form untuk diberikan kepada pegawai imigresen di Kansai Airport. Maka bermulalah misi kami berkelana di bumi Sakura.

TO BE CONTINUED...

Comments