Perth 2017 - Persediaan Sebelum Bertolak

Assalamualaikum w.b.t.

[Post Tertunda]

Coretan pertama 2017. Catitan pertama bulan yang ke 8. Masih memujuk diri untuk meneruskan hobi yang tergantung sepi. Menulis. Berkongsi kisah peribadi untuk tatapan diri di masa mendatang. Namun, azam yang masih terkujur layu dek kesibukan dunia dan amanah bermajikan. Pulang dari kerja semakin lewat, kerja bertimbun yang tak pernah berkurang malah makin bertambah, hujung minggu yang penuh dengan aktiviti merehatkan minda dan berukhuwah bersama ahli rumah yang lain juga tak lupa sedikit ruangan masa beberapa jam untuk aku laburkan memenuhi amanah, berkongsi ilmu bersama adik-adik bakal pasukan silat seni SUKMA Selangor 2018. Alhamdulillah. Walau dipenuhi masa yang sentiasa mencemburui diri ini, masih punyai ruang masa untuk aku bahagikan buat familyku, sahabatku, dunia silatku, periuk nasiku dan passionku.

Seperti penulisan sebelum-sebelum ini, setiap catatan pengembaraan suka untuk aku kongsikan di ruangan ini. Malah ruangan ini sendiri diwujudkan untuk dipenuhi dengan perkongsian seperti ini. Maka walau terasa agak lewat mengupdate, tetap ku gagahkan jua untuk memerah memori yang sudah hampir dua bulan lebih ditinggalkan. Pengembaraanku bersama sahabat-sahabat travelku ke tanah kanggaroo, Perth Australia pada 12th - 16th Mei 2017.

Bila berkongsi mengenai travel, salah satu asbab yang menjadi kata putus untuk terlaksananya sesuatu pengembaraan itu ialah adanya promosi harga tiket penerbangan yang sangat murah. Kos penerbangan kami return tiket berharga RM550 sahaja untuk satu kepala. Pada mula saat promosi bermula, terus aku contact sahabatku yang kini bermastautin di Perth Australia untuk bertanyakan tentang harga normal untuk ke sana dari Malaysia. Dan seperti aku jangkakan, harga promosi AA ini tersangat murah dibandingkan harga normal yang dikenakan untuk kesana. Terus aku roger sahabat-sahabat terdekat yang mempunyai minat yang sama. Alhamdulillah. Hanya kurang tiga jam sahaja hasil perbincangan dan kegiatan transfer duit berlaku, 4 keping tiket KLIA-Perth telah berjaya dimiliki.

Aku, Shazwan, Firdaus dan Afiq.

Aku menetap di KL. Daus menetap di Shah Alam. Afiq menetap di Cheras dan Shazwan menetap di Johor. Beberapa minggu sebelum kami berangkat barulah kami adakan meeting untuk merangka ittinerari penuh pengembaraan kami. Bertempat di salah sebuah restoran ala hipster di sekitar Cheras, tanpa Daus kami teruskan misi merangka tentatif penuh perjalanan termasuk kos sepanjang kami berada di Perth nanti.

tentatif awal perancangan kami. hasil diskusi kami bertiga. aku wan dan afiq.

Pertemuan kami berempat untuk pertama kali ialah di KLIA pada 12th Mei iaitu hari keberangkatan kami ke Perth Australia. Sebenarnya sepanjang beberapa bulan sebelumnya, masing-masing dah berkongsi link-link dan research berkaitan pantang-larang dan barang-barang terlarang yang selalunya ditahan di imigresen Perth Airport. Dan Perth juga merupakan salah sebuah negara yang sangat strict menapis imigran-imigran yang nak memasuki negera mereka. Ketibaan kami di sana disambut oleh seekor anjing besar yang dilepaskan dalam keadaan kami diarahkan untuk beratur dan memegang beg di sisi memasing. Anjing tersebut akan bertindak menghidu setiap beg atau bagasi yang dipegang oleh setiap orang untuk menghidu barang-barang yang terlarang. Tambahan juga, ada diceritakan di dalam blog-blog traveler yang mana jika kedatangan kita ke negara tersebut tak dinyatakan bersama tarikh untuk kita berangkat pulang ke negera asal, pihak imigresen akan menarik kita ke kaunter khas untuk disoal siasat. Sebab telah banyak kes-kes yang berlaku terutama berkaitan orang-orang asing yang masuk ke sini untuk bekerja sebagai pemetik anggur secara haram. Selagi kita tak punyai VISA kerja yang sah, maka kita tetap dianggap Pendatang Haram.

perut dah berkeroncong, masa ada kurang setengah jam dari gate tutup. memang rushing gila makan di Old Town KLIA2. stress rasa bila makan tak ikhlas ni. haha.

Sebelum aku mula bercerita mengenai tempat-tempat tarikan yang telah menjadi pilihan kami di sana, suka untuk aku kongsikan beberapa persiapan kami sebelum jejakkan kaki di sana.

1) VISA

Visa sebenarnya telahpun kami putuskan untuk menyerahkan kepada Afiq untuk uruskan. Apa yang kami perlu buat hanyalah transfer RM20 ke akaun beliau dan send gambar muka depan passport masing-masing ke whatsapp group. Beberapa minggu selepas itu alhamdulillah Visa telahpun selamat dikeluarkan oleh pihak imigresen Australia. Tempoh sah laku Visa ini ialah selama setahun. Bermakna, dalam setahun ini kami tak perlu nak apply Visa jika berhajat ke sana untuk kali kedua.



2) KERETA SEWA

Al-maklum Australia adalah sebuah negara yang besar. Dipecahkan kepada 5 bahagian, Western Australia (WA), Northern Territory (NT), South Australia (SA), Queensland dan New South Wales (NSW). Dalam 5 bahagian besar ini terletaknya beberapa major cities yang selalu dijadikan tarikan pelancong seperti Sydney, Brisbane, Melbourne, Perth dan Adelaide. Perth pula terletak di dalam wilayah WA. Dan pengembaraan kami bukan hanya tertumpu dalam kawasan Perth sahaja. Kami merancang untuk melawat di kota dan tempat-tempat tarikan di sepanjang pesisiran pantai WA. Atas sebab itu kenderaan sangat memainkan peranan yang penting dalam memenuhi tuntutan lokasi tarikan yang telah dipersetujui dan juga untuk merancang masa perjalanan supaya sempat untuk kami melawat dalam jangka masa yang telah ditetapkan.

Maka atas nasihat dan cadangan dari sahabat kami yang bekerja di Perth, kami telah menempah kereta sewa secara online di Aries Car Rental (ACR). ACR merupakan salah sebuah syarikat kereta sewa yang terkenal di Malaysia kini telah melebarkan sayap bisnesnya hingga ke Perth. Sangat kagum! Melihat ada juga kelibat anak Malaysia yang berjaya mengembangkan bisnes mereka di tanah seberang. Kereta yang dipilih ialah Hyundai Accent Hatch Auto dengan harga AUD131 untuk 3 hari sewaan.



3) BARANG-BARANG YANG NAK DIBAWA

Beberapa minggu sebelum kami berangkat, banyak juga laman sesawang yang kami lawati untuk mengenal pasti jenis-jenis barang yang dapat melepasi imigresen di Airport Perth. Al-maklum, first time jejakkan kaki di sana. Dengar pulak ura-ura imigresen NZ dan Australia merupakan antara yang paling strict di dunia. Yeke? Haha. Berikut adalah hasil research kami yang ala kadar (sumber klik SINI):

Makanan yang BOLEH dibawa :
- Mee segera seperti Maggi/Mamee/Bubur Nasi yang berperisa ayam, kari, vegetarian dsb.
- Ikan sardin/tuna dalam tin
- Rencah sambal tumis, kari ayam, kuah kacang seperti jenama Brahims, Aliff dsb (kecuali yang ada bunga cengkih)
- kiub ayam, tomyam especially jenama Maggi (jenama ni amat femes kat sana)
- ikan bilis (dipaketkan di kilang seperti beli kat Tesco ataupun Giant)
- beras, bihun, spageti dan lain-lain yang tidak mempunyai unsur-unsur terlarang seperti telur
- Nescafe / tea 3-in-1 (yang ni aku baru tau sebab takde susu, hanya guna non-dairy creamer)
- Susu formula untuk bayi ataupun anak-anak kecil
- ubat-ubatan yang dinasihat/dibenarkan (prescribed by) oleh doktor. Panadol atau balm boleh bawak
- rempah ratus yang berbentuk serbuk dipaket/dibeli di Tesco ataupun Giant

Makanan yang TIDAK BOLEH dibawa :
- serunding daging/ayam
- bahan makanan yang mengandugi telur
- hasil tenusu seperti susu, cheese, mayonis dsb
- minuman/makanan yang mengandungi coklat ataupun susu (Milo 3-in-1)
- buah-buahan
- rempah ratus yang berbentuk bijik seperti bunga cengkih, lada hitam yang masih belom dikisar
- daging, ayam mentah ataupun makanan yang berunsurkan bahan-bahan ini

Maka sebagai langkah berjaga-jaga, seusai tiba saja di airport sebelum kami berlepas dari KLIA, kami kumpulkan semua bekalan makanan kami dalam satu luggage dan siap senaraikan satu persatu supaya mudah untuk ditunjukkan kepada pihak imigresen Perth bila ditahan nanti.

Afiq yang tengah semangat mencatit semua senarai barang-barang dalam luggage

Tak lupa juga untuk semua toiletries dan barang-barang berasaskan liquid dan gas wajib disumbat ke dalam luggage untuk di check in. Sebab barang-barang tersebut tak lepas untuk di bawa masuk ke cabin. Pernah ada pengalaman beli deodorant spray baru di airport sebelum berangkat ke Korea tempoh hari. Punyalah semangat beli baru dan bila nak melepasi scanner tak lepas. Terpaksa 'hadiah'kan kepada pihak imigresen tu. Sekali tengok dalam box dorang, banyak betul barang-barang terlarang yang terkumpul. Haha.

So far untuk persediaan sebelum kami berangkat, hanya tiga point ini saja yang kami titik beratkan selain dari penetapan lokasi-lokasi tumpuan semasa di Perth. Untuk coretan penuh berkaitan detik-detik kami berada di sana insyaAllah akan diceritakan di dalam post seterusnya. Moga aku terus istiqamah memerah otak untuk diterjemahkan dalam bentuk penulisan di laman ini. Amin.

Wallahualam.

..To be continued..

Comments