Impian Terkubur
Assalamualaikum.
(coretan penuh emosi..alhamdulillah sekarang ianya terubat.. sekadar perkongsian keperitan yang ku lalui ketika itu..mohon nasihat..)
Alhamdulillah. Setelah sekian lama tak meluangkan masa bersama sahabat. Coursemateku dahulu. Kini seorang engineer di salah sebuah syarikat bumiputera yang membekalkan pam untuk indusri Oil & Gas. Genap 9 bulan aku menyewa di Shah Alam tapi baru bulan lepas tahu ada juga dalam kalangan sahabat seUIA yang kini ramai menyewa dan bekerja di area Shah Alam dan sekitarnya.
Entah kenapa tetibe terasa nak kongsi sikit salah satu detik agak pahit yang aku lalui dahulu. Iaitu detik di mana aku terpaksa menguburkan hasrat dan impian aku selepas 10 tahun membanting tulang dengan perit jerih berusaha untuk capai ke tahap ini. Ya. Penglibatan ku dalam arena pencak silat. Setelah sekian lama nantikan akhirnya berjaya juga terpilih untuk menyahut cabaran negara untuk ke pentas Sukan SEA mewakili skuad elit negara. Alhamdulillah. Masa tu sangat terasa bersyukur, bibir tak terkata tapi hati melonjak keriangan. Siapa tak gembira penantian 10 tahun penglibatan akhirnya tercapai untuk mewakili skuad elit Malaysia. Tapi malangnyaaa...
Sedih.. Duka.. Kecewa.. Down..
Pada mula aku terima panggilan keramat tersebut, aku ragu-ragu untuk membuat keputusan. Keputusan yang bakal memberi kesan buat masa depanku. Belum cukup setahun aku bermajikan, takkan semudah itu untuk mengangkat kaki mengundur diri begitu sahaja. Pengalaman pun suam-suam kuku saja. Sebaliknya aku terus berpendirian untuk menerima sahaja dahulu tawaran tersebut sambil menanti hari lapor diri menjelang tiba. Aku memberi masa hati untuk membuat pilihan. Pilihan yang terbaik untuk diriku. Ke arah karier sekarang atau ke arah sukan? Istikharah tanpa henti. Bertanyakan pendapat dan pandangan orang. Keluarga sendiri, rakan sekerja, rakan sepersilatan, saudara-mara, mostly semuanya support tindakan aku untuk terus menyelami bidang yang aku jauh minati dan cenderungi sejak dari kecil itu. Tapi hatiku tetap kurang senang seolah ade sesuatu disebalik ragunya hati ini. Aku teruskan bertanya pada Allah. Hampir setiap malam dan setiap akhir solat, tanpa henti aku mohon petunjuk untuk kurniakan yang terbaik buat diriku. Dan tiba satu ketika seusai selesai solat magrib berjemaah di surau kawasan rumah sewaku, hatiku tetiba kuat berpendirian untuk terima tawaran tersebut. Seolah 100% keputusan telah muktamad dibuat ketika itu. Sungguh hanya Allah saja tahu perasaanku ketika itu yang mana langsung tiada sekecil zarah pun perasaan ragu-ragu ini menyelubungi pendirian dan keputusan aku ketika itu. Aku cukup yakin untuk bertindak. Dan sepanjang hampir sebulan aku beristikharah, seolah hampir setiap keadaan yang aku tempuhi di hari-hari biasaku memberi indikasi kepadaku untuk memilih dan menerima tawaran tersebut. Dalam masa yang sama juga aku turut mula membuat penstrukturan semula stamina yang kian lama terabai sejak setahun meninggalkan dunia sukan.
Akan tetapi, bila tiba hari-hari terakhir sebelum tarikh lapor diri di MSN Negara menjelang, salah seorang dari teammateku mengutuskan telegram kepadaku lantas aku buka dan membaca...
"Minta maaf abg naz. Saya x dpt teruskan perjuangan. :("
Kategori kami adalah berkumpulan. Syarat penyertaan mesti bertiga. Kurang seorang bermakna langkah kami terhenti di sini.
Dan pada saat dan ketika itu aku tersentap kaku tak terkata. Perasaan seronok keriangan dan keghairahan aku terus bertukar menjadi suram. Seolah berlaku gerhana matahari. Dari suluhan sinaran matahari terus gelap berbayangi diri sendiri. Sungguh aku kecewa pada mulanya. Aku terus tanya dan persoalkan apakah asbab disebalik keputusan beliau. Dan setiap bait-bait beliau menerusi telegram tersebut sangat menyentuh hatiku. Sungguh. Aku seolah tak tertahan untuk mengalirkan air mata. Maaf Anep, aku sudah nekad untuk kongsikan cerita ini di kolum laman ku kali ini. Kata-katamu sangat membuatkan mataku berkaca.
Sumbangan terakhirku buat Malaysia bila dikalungkan pingat EMAS di Sukan Universiti ASEAN Laos 2012. Meremang bulu roma ketika itu bila berjaya menyahut cabaran coach untuk menggegarkan dewan pertandingan dengan nyanyian lagu NEGARAKU. Ya Allah, syukur akan peluang dan ruang tersebut. Memori yang sentiasa akan tersemat dalam jiwa ini. Membawa bendera jalur gemilang di negara orang. :'(
p/s: orang mungkin lihat aku terlalu beremosi dalam menempuhi ujian ini. sejak 2006 sama-sama tanam impian, mendaki setiap cerunan untuk capai ke puncak, di uji dengan lubang dan lopak sana sini, keadaan jalan yang bermacam cabaran, siapa yang tak rasa tersentuh bila sama-sama juga terpaksa menolak impian yang telah diputuskan satu ketika dulu dalam keadaan lagi setapak nak capai puncak. Dan kini secara rasmi aku mengundurkan diri dari dunia silat. Terima kasih!
Wallahualam.
Comments
Post a Comment