1 Syawal 1441H di musim PKPB

Assalamualaikum w.b.t.

Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan..

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
MAAF ZAHIR & BATIN

kepada semua pembaca dan pelawat setia laman Jejak Musafir sejak ianya diwujudkan pada tahun 2009. Walaupun aku tahu dah tak ramai yang membacanya, infact mungkin tiada langsung kecuali diri ini.

Disebabkan motif laman ini diwujudkan pun hanyalah sekadar simpanan memori lama yang suka untuk aku coretkan sebagai tatapan aku dan mungkin anak cucu aku di kemudian hari. Maklumlah, kalau nak tulis dalam buku, potensi buku itu hilang akan ada. Kalau nak mengingat dan sampaikan secara lisan, tentulah tidak. Bila umur dah meningkat ke tua, pasti ingatan aku pun makin hilang. Kalau nak simpan di media sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter pula, aku sangat tak gemar publisiti termasuk bila nak kena layan komen-komen dari semua kenalan. Bukan berniat untuk sombong atau ibarat katak di bawah tempurung, tapi keadaan aku sekarang tak mengizinkan untuk aku berhadapan dengan ramai orang. So atas dasar itu aku aktifkan kembali laman ini yang mana aku pasti akan kurang pelawat dan pengomen. Medium yang jauh lebih selesa untuk aku kongsikan kisah hidup aku yang tak seberapa ini.

Dan seperti semua sedia maklum, sambutan Syawal tahun ini sangat berbeza dengan tahun sebelum-sebelum ini. Kalau sebelum ini di pagi Syawal, masing-masing mungkin sudahpun bertandang di kampung halaman bersama sanak-saudara yang riuh beratur menunggu giliran nak mandi di pagi raya. Bila selesai solat sunat Raya, riuh pula golongan kanak-kanak beratur untuk mendapatkan duit raya. Ada juga budak-budak yang sudah menjadi adat untuk mereka bertandang ke rumah jiran-jiran hanya sekadar untuk mengumpul duit raya. Itu semua sudah pun menjadi sejarah untuk masa ini. Kini sambutan di buat ala normal baharu.

Disebabkan penularan wabak COVID-19, banyak SOP telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan penguatkuasaan yang dibuat dengan kerjasama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

- Tak boleh balik kampung atau menziarahi merentas negeri
- Pengamalan penjarakan sosial
- Mengelakkan daripada bersentuhan dan bersalaman
- Kerap cuci tangan
- Mengelakkan perhimpunan di satu-satu kawasan yang sempit
- Kegiatan ziarah-menziarahi hanya pada hari pertama Syawal dan merentasi daerah sahaja
- Berkumpul yang hanya terhad kepada 20 orang sahaja

Punyalah bertimbang rasa pihak KKM hingga cuba memberi peluang kita melakar memori Aidil Fitri seperti biasa dengan membenarkan sesi ziarah-menziarahi dengan limitasi 20 orang walaupun hanya terhad untuk hari pertama sahaja. Tapi malangnya ada juga mereka yang masih bersikap pentingkan diri. Yang masih meneruskan misi menziarahi walaupun sudah masuk hari kedua dan ketiga Syawal. Ada juga mereka yang masih tak patuh SOP dengan membenarkan tetamu datang hingga lebih dari 20 orang. Apapun alhamdulillah aku percaya golongan yang macam ini hanyalah minoriti di Malaysia.



Satu kelainan yang agak ketara untuk sambutan 1 Syawal tahun ini adalah tak lain tak bukan semua rakyat Malaysia dilarang untuk menunaikan solat sunat Aidil Fitri di masjid dan surau. Maka, gigihlah semua ketua keluarga untuk mempersiapkan diri untuk menjadi imam dan khatib solat sunat Aidil Fitri di rumah masing-masing. Bermacam ragam dan celoteh kisah netizan di pagi Aidil Fitri bersolat sunat raya dan mendengar khutbah yang disampaikan oleh ahli keluarga mereka sendiri dapat kita saksikan menerusi media sosial.

Suasana kami di pagi Aidil Fitri yang ala kadar. Namun, alhamdulillah sekurang-kurangnya dapat disambut bersama seisi keluarga. Entah kenapa terasa nak rakamkan suasana solat raya di rumah. Mungkin tersangat jarang merasai pengalaman seperti ini. Ye la kan bila lagi peluang dapat solat berjemaah sunat hari raya di rumah.

Solat sunat Aidil Fitri bersama keluarga. Keluarga abang hanya tiba setelah selesai solat. Maaf gambar opposite direction sebab pakai kamera depan. Jangan salah faham ye kenapa makmum lelaki solat disebelah kiri imam.

Tazkirah ringkas sempena COVID-19 oleh ketua keluarga.

 Bergambar bersama keluarga abang keduaku dengan si kecil Nur Salma.

 Disebelah malam pula, keluarga abang pertamaku pula datang ziarahi. Maka riuhlah rumah dengan kehadiran kelima-lima anak buahku. Nurul Ikhlas, Nazrul Ayyash, Nazrul Arham, Nazrul Akhyar dan Nazrul Athraa. Alahai cepat betul membesar semua.

Dikesempatan ini juga suka untuk aku kongsikan laman blog anak buahku, Nurul Ikhlas. https://lightpurity.blogspot.com/ Sebenarnya penghasilan blog ini adalah salah satu dari tugasan sekolah beliau disebabkan kekangan untuk hadiri kelas di sekolah sejak PKP dilaksanakan. Aku pun sebenarnya terkejut. Kecil-kecil begini dan mula menulis. Dan menulis pula dalam bahasa inggeris. Well done Ikhlas!

Sekali lagi penulis dengan rendah diri ingin mengucapkan..


Maaf zahir dan batin..
Taqabballahu minna waminkum..
Semoga Allah terima ibadah kami dan kalian semua sepanjang Ramadhan yang lalu. Ameen!
#staysafe #stayhome #kitajagakita

Wallahualam.

8.30am 
4 Syawal 1441H
Bandar Tasik Puteri
PKP/B Hari ke-71


Comments