17 Ramadhan 1441H

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah. Hari ini ada tiga peristiwa penting untuk aku kongsikan di sini.

Peristiwa pertamanya adalah hari ini merupakan hari yang telah lama aku rancang untuk membayar zakat fitrah. Syukur sebab tak terlupa al-maklum usia makin meningkat alhamdulillah akhirnya terlunas juga niat dan untuk pertama kalinya dibuat secara atas talian.

Sedikit perkongsian flow untuk pembayaran zakat fitrah secara atas talian seperti di bawah. Untuk kes aku ialah pembayaran dibuat kepada pihak Zakat Selangor. Kalau kaedah pembayaran untuk selain daripada Selangor bolehlah rujuk kepada post aku yang terdahulu (boleh klik SINI untuk mendapatkan kaedah pembayaran mengikut negeri). Ada juga mereka yang masih bingung di mana sebenarnya mereka perlu bayar zakat fitrah ini. Sama ada di negeri tempat mereka bekerja atau di negeri kampung halaman mereka. Boleh rujuk pendapat Senator Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri (bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan sekarang sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Agama) di pautan SINI dan SINI insyaAllah.

1. Isi maklumat bayaran :
- Nama penuh
- No kad pengenalan
- No telefon
- Jenis zakat
- Pilih jenis beras
- Bilangan diri dan tanggungan


2. Pilih kaedah bayaran :
- Sama ada menerusi online banking atau JomPAY


3. Pilih bank :
 - Jika pilih online banking, seterusnya akan diminta untuk memilih bank


Ini boleh diibarat sebagai ijab qabul yang biasa kita buat sekiranya pembayaran dibuat secara fizikal kepada amil pengutip zakat. Sebaik kita tekan sahaja "Bayar Sekarang" adalah seolah kita menghulurkan duit kertas sambil diterima oleh amil pengutip zakat.


4. Resit bayaran zakat :
 - Setelah selesai pembayaran, akan terus keluar resit pembayaran. Pemprosesan akan mengambil masa 8 hari waktu bekerja. Maka, selesailah kita membayar zakat fitrah untuk tahun ini. Alhamdulillah.


Peristiwa kedua pula, hari ini juga merupakan hari ke-17 kita berpuasa iaitu bersamaan 17 Ramadhan 1441H. Dan dalam Islam ada dua peristiwa penting yang berlaku pada tarikh 17 Ramadhan iaitu tarikh turunnya Al-Quran dan peristiwa peperangan Badar. Untuk senarai nama pejuang-pejuang Islam yang terlibat dalam Perang Badar boleh rujuk di SINI. Dikesempatan ini, ayuh kita sama-sama perbanyakkan membaca dan mentadabbur Al-Quran dan niatkan moga-moga kita berjaya khatam sekurang-kurangnya sekali untuk Ramadhan kali ini insyaAllah.

 Sumber : Darul Murtadza

Sempena Nuzul Quran juga suka untuk aku kongsikan salah satu perkongsian sesi LIVE Malam Nuzul Quran oleh Ustaz Haslin Baharin (UHB), Saudara Syamsul Debat, Ustaz Abdullah Khairi (UAK) dan Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Izhar Ariff.


Peristiwa ketiga adalah hari ini juga merupakan hari penting buat para ibu seluruh Malaysia iaitu Hari Ibu. Maka di kesempatan ini aku ingin mengucapkan SELAMAT HARI IBU buat bondaku yang disayangi, NORIZAN BT JAAFAR yang kini berada di KL. Terima kasih kerana menjadi seorang ibu yang terbaik untuk anak-anakmu. Dan yang penting, sentiasa menjadi sumber kekuatanku di saat aku diuji. YA ALLAH, Engkau panjangkanlah umurnya, payungilah hidupnya dengan rahmat-MU dan kurniakanlah kebahagiaan kepadanya. Ameen. Tak lupa juga ucapan ini aku tujukan kepada semua warga ibu seluruh dunia khususnya buat semua kenalan aku. Ramai saja sebenarnya kenalan-kenalan perempuan aku yang kini sudahpun bergelar ibu. Maklumlah, kebanyakan batch aku di sekolah dan universiti majoritinya sudah pun ber anak dan ada tu dah masuk anak yang kelima pun. Semoga kalian semua dilimpahi rahmat Allah dan dikurniakan kesabaran sepanjang mendidik anak kalian agar menjadi insan yang berjaya kelak insyaAllah. Ameen.

Sumber : Media Wanita Maya

Seterusnya hari ini juga secara rasminya Perdana Menteri (PM) Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sepatutnya berakhir pada 12 Mei ini akan dilanjutkan sehingga 9 Jun iaitu untuk tempoh hampir sebulan. Tapi rasanya tak ada perbezaan sangat sebabnya kami tetap kena masuk pejabat seperti biasa. Dan syarat untuk keluar sesuka hati pun dah tak terikat seperti mula-mula PKP dahulu. Hinggakan nak berjogging dan bersiar kat taman pun dibenarkan asalkan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh KKM.

Sebahagian daripada intipati perutusan PM petang tadi :


1. Malaysia di tangga ke-4 daripada 105 negara dalam hasil kajian tahap kepuasan rakyat terhadap langkah kerajaan menangani COVID-19.
2. Hanya 4 kawasan masih berstatus Zon Merah bukti arahan PKP dan PKPB dipatuhi rakyat. Daripada 1,178 kawasan, 94.4% telah dikategorikan sebagai Zon Hijau, 5.2% dikategorikan sebagai Zon Kuning dan hanya 0.34% yang masih berstatus Zon Merah.
3. Proses untuk menghasilkan vaksin akan mengambil masa 12 hingga 18 bulan. Ujian klinikal sedang giat dijalankan di makmal-makmal untuk menghasilkan vaksin.
4. Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disambung 4 minggu lagi, tempohnya sehingga 9 Jun 2020.
5. Perjalanan rentas negeri untuk Hari Raya, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tidak dibenarkan.
6. Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang dalam satu-satu masa, tetapi tidak perlu buat jamuan besar atau rumah terbuka.
7. Pasangan suami isteri yang tinggal di negeri berasingan kerana faktor kerja akan diberi kelonggaran untuk membuat perjalanan rentas negeri bertemu keluarga. Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia atau di balai polis yang berhampiran.
8. Kebenaran untuk solat jumaat dan solat berjemaah di Masjid dan Surau akan dilaksanakan setelah SOP dimuktamadkan dan diperkenan oleh YDP Agong dan Majlis Raja-raja selaku Ketua Agama Islam. 
9. Perdana Menteri mengambil maklum keluhan permohonan baharu dan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang tidak diluluskan atas pelbagai sebab. Bagi yang tidak diluluskan, Kementerian Kewangan bersetuju tempoh rayuan dilanjutkan sehingga 31 Mei 2020. 

Wallahualam.

11.40pm 
17 Ramadhan 1441H
Bandar Botanik Klang
PKP/B Hari ke-54



 

Comments