Tuesday, 21 July 2015

1 Syawal 1436H / 17 Julai 2015

[Post 1 Syawal 1436H]

Alhamdulillah. Setiap tahun aku cuba untuk tak ketinggalan untuk mengupdate suasana dan aktiviti kami sekeluarga di pagi satu Syawal. Bukan untuk bermegah dengan keseronokan kami menyambut Syawal tapi untuk mendokumentasikan segala cerita-cerita indah dalam hidup ini dengan catitan dalam laman ini. Hanya sebagai ruangan untuk satu hari nanti menjadi tatapan masa depan yang mungkin pada ketika itu aku mungkin sudahpun berpunya atau berada jauh dengan keluarga.

Alhamdulillah, untuk sambutan syawal kali ini kami 4 beradik berjaya berhimpun. Kami tiga beradik (Ainaa, Azam & Arif) bersama abang sulung kami, Nazrul Amir (Yop), Yong dan tiga orang anak buahku, Ikhlas, Ayyash dan Ikhlas. Seronok tengok bila mak ayah seronok bila anak-anak mereka berhimpun di malam raya. Tambahan pula bila cucu-cucu mereka yang hyper active pun turut bersama. Aktiviti malam raya seperti biasa bila ada kehadiran Ikhlas dan Ayyash iaitu main bunga api. Seronok sebenarnya tengok budak-budak ini bila mereka terlebih excited. Riuh rumah bila ada mereka. Mainan bersepah. Ada masa bila mereka berebut nak main permainan yang sama hingga ada yang menangis dan merengek. Si adik yang selalu mengikut ke mana saja si akak pergi. Si adik yang suka sangat bermain permainan apa yang si akak main. Mana taknya berakhir dengan pergaduhan walhal memang si akak tengah main tetiba dirampas oleh si adik kerana ingin turut bermain permainan yang sama. Kelakar rasa bila tengok gelagat mereka. Tak sangka masa cepat benar berlalu. Syawal demi syawal berlalu, sedar-sedar dan besar anak buahku.

Pagi raya seperti biasa. Bangun seawal 630 pagi untuk menunaikan solat subuh dan terus bersiap-siap. Mengenakan baju raya kurta berwarna hijau. Tema kami sekeluarga tahun ini ialah warna hijau. Bersarapan ringan sebelum bertolak menuju ke Masjid Bandar Tasik Puteri.





Selesai solat sunat raya dan mendengar khutbah raya, terus kami pulang ke rumah. Bersarapan berat; lemang, nasi himpit, rendang tok, kiuh raya, dll. Dan selesai bersarapan, meneruskan aktiviti wajib di pagi raya; bergambar sekeluarga dan sesi bermaafan dan pemberian duit raya. Alhamdulillah saban tahun asyik menerima dari mak ayah, tahun ini diberi kesempatan untuk memberi pula kepada mereka. Walau tak sebanyak mana pun tapi rasa seronok bila dapat merasa memberi setelah sekian lama asyik menerima saja. Selesai saja semuanya, terus kami bersiap untuk memulakan aktiviti kami untuk melawat beberapa rumah untuk beraya.


Rumah pertama | Rumah Pak Ngah (Abang sulung makku) di Sri Rampai, KL
Hasrat pada mulanya, makku bersama adik beradik beliau sudah berpakat untuk berkumpul reramai di pagi raya pertama di sana. Tapi malangnya tak kesampaian. Kerana beberapa faktor yang tak dapat di elakkan, hanya kami sekeluarga saja sampai sana di pagi raya. Apa pun alhamdulillah dapat bertemu dengan Pak Ngah dan Mak Ngah. Dulu masa kecil, aku ingat lagi Pak Ngah selalu menyakatku dengan gelaran ustaz. Maklumlah, aku seorang saja dalam kalangan adik-beradikku yang bersekolah di sekolah yang mempunyai aliran agama. Kunjugan kami ke sana tak lama kerana agak terkejar ingin menunaikan solat Jumaat. Sempat kami bersolat Jumaat di Surau At-Taqwa, Ukay Perdana.

Rumah kedua | Rumah Ust Dzulkefli di UNITEN, Bangi
Kunjungan kedua kami ke rumah Ust Dzul di Rumah Fellow di UNITEN, Bangi. Ustazah Rohaya (Isteri Ust Dzul) merupakan guruku tika aku menuntut di SMK Sg Pusu 10 tahun yang lalu. Alhamdulillah, ustazah masih kenal dan ingat aku walau aku ini bukanlah favourite student beliau. Dan Anas (Anak sulung Ust Dzul) pula ialah sahabat karibku dulu tika menuntut di sekolah yang sama dan kini beliau sudah pun berkarier.


Rumah ketiga | Rumah mertua abangku kedua di Taman Melawati, KL
Kami sekeluarga tiba di sana selepas maghrib. Dalam keadaan perut masing-masing masih penuh dengan juadah-juadah rumah yang kami lawati sebelum ini, kami hanya pekena juadah yang agak simple hanya untuk menjaga hati tuan rumah. Juadah yang di sediakan pada ketika itu pula agak variasi. Laksa Utara, Laksa Johor, Nasi Beriyani, Satay, dll. Sungguh kalau perutku tak kenyang, pasti akan ku rasa kesemua juadah ini. Sebelum keberangkatan kami pulang, tuan rumah siap membungkuskan beberapa plastik juadah untuk kami bawa pulang bersama. Alhamdulillah.




Tiba di rumah sekitar jam 1000 malam. Badan penat. Mata mengantuk. Perut kenyang. Apepun sekian lama tak merasa seharian beraya rumah orang, rasa seronok pula sesi jelajah raya tahun ini tambahan pula ada anak buah yang terlebih aktif. Alhamdulillah. Beginilah kami sekeluarga menyambut 1 Syawal tahun ini. Walaupun tak semeriah keluarga lain yang meriah, aku tetap bersyukur kerana masih diberi nikmat beraya bersama keluarga tercinta. Alhamdulillah wa syukurillah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...