Hala Tujuku Selepas Belajar
Assalamualaikum.
Entah kenapa bila berjumpa dengan mereka hati ini jadi tenang. Seolah bila bersembang dengan mereka, setiap bait-bait yang terungkap dibibirku keluar bersama masalah-masalah yang sekian lama menyembunyikan diri dalam otak fikiranku. Aku perasan. Aku sedar. Mungkin itulah yang terbaik buat diriku. Tapi aku harus akui bahawa setiap apa tindakan yang aku telah putuskan adalah untuk kebaikanku.
Semester baru telah menjelang tiba. Dua minggu telah ku lalui dengan jayanya. Bersama classmates baru, lecturer baru, kenalan baru, dan misi yang baru. Aku tak tahu, kenapa semester kali ni semangatku tak seperti semester sebelum ni. Mungkin misi yang ku pasang untuk tahun ini agak drastik. Adapun misi tersebut aku pilih untuk merahsiakannya.
Semester kali ini insyaAllah adalah yang terakhir. Semester yang menentukan peringkat CGPA mana yang aku akan dikategorikan selepas bergelar graduan kelak. Bila terfikir akan graduasi, aku seringkali buntu. Buntu dan keliru dimanakah destinasiku selepas ini. Adakah terus melangkah masuk ke dunia pekerjaan? Atau lebih memilih untuk meneruskan permusafiranku dalam misi kembara ilmu. Aku pernah menanamkan satu impian. Satu cita-cita untuk bergelar Dr. Mungkin pada mulanya, aku fikir peringkat PhD terlalu tinggi untuk aku kecapi. Bagiku seorang yang bergelar Dr. (PhD), bukan sahaja pakar dalam bidangnya tapi pakar juga dalam aspek berbentuk kerohanian mahupun perkongsian pendapat yang matang tentang sesetengah isu berbangkit. Jauh sama sekali untuk aku berfikir aku akan berada di tempat itu. Mungkin aku terlampau memikirkan kekurangan yang ada pada diriku. Hinggakan setiap misi dan target yang aku pasang, ada saja halangan yakni berbentuk kekurangan yang ada pada diriku menyebabkan misi tersebut terhenti dipertengahan jalan.
Namun, kini aku sudah tiba di zon penghujung pengembaraan ilmu di peringkat sarjanamuda. Genap empat bulan dari sekarang, insyaAllah kalau diizin-Nya, aku akan selesai amanahku di UIA ini. Amanah yang telah lamaku pikul sejak bergelar pelajar CFS semasa di Petaling Jaya. Dan pada ketika itu, aku percaya, aku akan bertambah bingung untuk memikirkan nasib diri selepas graduasi. Kerja? atau Further studies?
Bila fikir mengenai hala tujuku untuk ke arah pekerjaan. Perkara yang pertama terlintas dalam fikiranku ialah kahwin. Mungkin ada yang berpandangan, aku terlalu obses nak berkahwin. Suka untuk aku katakan, aku telah lama pasang hajat untuk berkahwin diusia sekitar sekarang hanya kerana aku nak melunaskan perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Setiap kali berbincang isu kahwin, aku sering terbayang keadaan yang aku bakal lalui bila sudah bergelar suami orang. Adakah aku bersedia. Ayahku sangat supportive bila bercakap mengenai perkahwinan. Kerana mereka (ibubapaku) melangsungkan pernikahan di saat mereka masih bergelar pelajar sarjanamuda di universiti terkemuka di USA pada usia sekitar usiaku sekarang. Tapi aku mengerti. Bukan mudah nak mendirikan sebuah mahligai yang mana kekukuhannya mampu bertahan lama. Disebabkan itu banyak perkara aku perlu pertimbangkan. Dan banyak persiapan yang aku harus sediakan. Tidak semudah kata-kata "Aku terima nikahnya..." nak dilafazkan kalau bukan ianya disertakan sekali dengan tanggungjawab yang sangat berat bersama. Dan aku percaya, langkah pertama sebelum berkahwin ialah untuk mengukuhkan struktur ekonomi hidupku selain persiapkan diri dengan ilmu-ilmu ukhrawi untuk memimpin keluarga. Untuk kukuhkan struktur ekonomiku, aku perlu bekerja.
Bila difikirkan mengenai sambung belajar pula, perkara pertama yang terlintas dalam fikiranku ialah aku ingin mengembara. Aku ingin berhijrah ke tanah seberang. Aku ingin merasai suasana dan budaya di tempat orang. Dengan kata lainnya, aku ingin menyambung pelajaran ke luar negara. Aku inginkan pengalaman baru. Kalau dulu, aku selalu terfikir, bagaimana aku nak belajar di luar negara padahal nak berinteraksi dalam bahasa Inggeris pun masih tak mampu. Itulah fikiran dan pemikiranku pada usiaku 17 tahun. Habis SPM dan khuatir untuk mencuba nasib memohon universiti luar negara. Walhal bila difikirkan balik, sebenarnya aku mampu. Dan sekarang, aku telah mengambil langkah yang mana sepatutnya aku ambil pada ketika aku selesai SPM dahulu yakni memohon sambung pengajian di universiti luar negara. Alhamdulillah bila diketemukan dengan sahabat yang mempunyai misi yang sama, dapat jugak sedikit sebanyak memudahkan proses permohonanku. Baru dua hari berlalu, tertutupnya permohonan Pinjaman MARA untuk Pasca Siswazah Luar Negara. Alhamdulillah, sempat juga aku memohonnya secara atas talian. Mohon doa dari kalian agar permohonan pinjamanku berjaya. Ini saja laluanku untuk meneruskan misiku dalam pengembaraan menuntut ilmu.
Dan apa yang aku lakukan sekarang, hanya memohon petunjuk dari Allah, laluan mana yang terbaik buat diriku. Pada masa yang sama akan ku usahakan kedua-duanya.
Comments
Post a Comment