Idola. Aku bukan yang terbaik.


Aku tak tahu kenapa malam ni selepas aku membaca hasil tulisan beliau, aku tersentap.  Aku terpaku. Jujurnya diri ini tak pernah terfikir pernah menjadi idola seseorang. Pernah menjadi contoh ikutan seseorang. Terutama dalam arena sukan yang ku ceburi sekarang.

Entah kenapa selepas aku baca, aku terasa semua memori dan kenangan selama empat lima tahun belakangan ni menyusup kembali dalam fikiranku. Bagaimana aku mula mengorak langkah dalam dunia pencak silat khusus dalam acara silat seni. Bagaimana pada mula-mula di tingkatan satu, salah seorang seniorku personally menjemputku turun latihan gayong semasa tengah menikmati makan tengahari di dewan makan asrama pada ketika itu.

Aku sebenarnya tak pernah terfikir akan bergiat aktif dalam  sukan silat. Pada mulanya aku hanya berniat sekadar aktif untuk memenuhkan markah kokurikulum peringkat sekolah. Tapi sebaliknya yang terjadi.

Aku ingat lagi masa berada di tingkatan satu, aku baru saja beberapa minggu jejakkan kaki di sekolah dan untuk pertama kalinya berada berjauhan dengan mak ayah. Sekolah berkonsepkan asrama harian. Di sekolah tu aku belajar macam-macam. Dan salah satu yang menjadikan aku terkenal pada mata rakan-rakan, cikgu-cikgu dan pentadbir sekolah kerana giatnya aku dalam sukan pencak silat. Hingga pernah bergelar juara kebangsaan pada tahun 2006 dan naib juara kebangsaan pada tahun 2007. Sehinggakan peperiksaan PMR mahupun SPM sikit pun tak menjadi penghalangku untuk bergiat aktif dalam kejohanan-kejohanan walaupun hakikatnya diri ini terpaksa memonteng kelas selama hampir beberapa bulan disebabkan terpaksa menghadiri latihan pusat peringkat daerah, negeri dan kebangsaan seterusnya hari-hari kejohanan yang selalunya memakan masa hingga seminggu lamanya. Namun, ketika itu aku sikit pun tak rasa menyesal. Kerana memang itu yang aku inginkan. Dalam hati ini terasa seronok walaupun ketika itu ayahku tak berapa sokong dengan keputusanku untuk terus aktif lagi-lagi ketika berada di tingkatan lima gara-gara SPM. Akhirnya, alhamdulillah selepas result SPM dikeluarkan, aku berjaya membuktikan kepada mereka aktifnya aku dalam sukan silat sikit pun tak mengganggu prestasi akademikku. Dan kerana itu, ayah aku lebih percaya untuk memberi ruang kepadaku untuk terus bergiat sehingga ke peringkat universiti.

Di peringkat universiti pula, jujur ku katakan sangat banyak pengorbanan yang telah ku lalui. Sahabat sibuk berdiskusi dan menyiapkan assignment di hujung minggu, tapi aku berpenat lelah, berjemur di bawah matahari yang terik di tengahari buta menjalani latihan berbentuk fitness mahupun teknik. Sahabat sibuk menyiapkan projek last minit di malam hari, tapi aku sibuk menjalani latihan di sport complex dan habis jam satu pagi. Esoknya ada kelas jam lapan setengah pagi. Serius penat. Sahabat giat study group dan menelaah bila tiba malam esoknya ade kuiz atau exam, tapi aku masih dengan latihanku. Sahabat sibuk bergiat dalam aktiviti berbentuk kelab dan berprogram ke sana sini seperti baktisiswa, tapi aku mengikut kontinjen pergi berjuang dalam pertandingan. Sahabat banyak didedahkan dengan pengurusan bermacam jenis program dibawah seliaan kelab tertentu, tapi aku masih sibuk dengan dunia silatku. Ya. Memang hati kecilku ada terasa satu kerugian. Bayangkan selama hampir empat tahun aku hidup di bumi UIA ni tapi sikit pun aku tak berpeluang melibatkan diri dalam apa-apa program kelab jauh sekali kalau nak terlibat dengan kegiatan berbentuk sosial.

Kekadang aku seringkali tertanya, apa yang sebenarnya aku dapat sepanjang aku berada di UIA ni? Adakah hanya sekadar bergelar seorang pelajar ijazah sarjanamuda? Adakah sekadar ulang alik kelas setiap hari? Adakah hanya sekadar meniru mahupun merujuk jawapan rakan-rakan semasa siapkan assignment atau projek?

Mungkin ada yang menjadikan aku idola dalam arena pencak silat khususnya buat sahabat-sahabat yang rapat denganku. Yang pada mereka aku seolah terlalu banyak pengalaman yang nak dikongsikan bersama. Walhal diri ini masih fakir dengan ilmu-ilmu silat apatah lagi ilmu-ilmu berbentuk kehidupan.

Suka untuk aku ingatkan, tak salah untuk kita pasang niat untuk mencapai apa saja cita-cita yang telah lama kita rancang. Tapi janganlah jadi seperti aku. Hanya bergerak aktif melalui satu cabang. Walhal masih ada berpuluh-puluh lagi cabang diluar sana yang aku rasa ilmu dan pengalamannya jauh  lebih diperlukan dalam persediaan kita sebelum menjejakkan kaki ke dunia realiti selepas kita bergraduasi kelak.

Namun begitu, aku sangat bersyukur.  Bila difikirkan balik kenangan dan pengalaman selama aku bergiat, macam-macam keadaan sudah aku lalui. Secara tak langsung aku belajar melalui pengalaman yang telah ku lalui. Ramai kenalan dah ku temui. Dari pelbagai latar belakang. Bila berkata mengenai ukhuwah, aku seringkali terkenang detik berlatih bersama-sama, bersuka sama-sama, berduka sama-sama. Aku tak tahu kenapa setiap insan yang hadir dalam hidupku pasti ada yang merubahku. Ada juga sahabat-sahabat yang aku lebih anggap seperti adik-beradik sendiri. Ibarat cubit peha kira, tangan kanan terasa.

Entah kenapa aku terasa nak luahkan semua ni malam ni. Aku sebenarnya sangat lemah semangat sekarang. Aku tak tahu kenapa. Aku rasa 'down' sangat sampai tahap sepanjang petang tadi aku hanya mampu baring saja di atas katil sambil mengenang nasib diri. Ya Allah, aku mohon padaMu, Engkau berikanlah ku kekuatan. Aku sangat perlukannya di saat dan ketika ini. Amin.


Di sinilah aku BERMULA. Namun di mana agaknya karierku BERAKHIR... Huhu.

Comments