Saturday, 9 July 2016

4 Syawal 1437H | Majlis Penyerahan Bendera Selangor SUKMA 2016

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah. selesai menghadiri salah satu program wajib menjelang kejohanan Sukan Malaysia SUKMA di Sarawak yang akan diadakan pada hujung bulan ni. Majlis Penyerahan Bendera Selangor untuk Kontinjen Selangor ke SUKMA Sarawak 2016.

Program bermula seawal 930 pagi bertempat di Dewan Serbaguna MPAJ AU 2 Keramat. Sesi rehearsal diadakan selepas semua atlit tiba memenuhi ruangan dalam dewan. Dari perarakan masuk VVIP Sultan Selangor, Raja Muda Selangor, Tunku Laksamana Selangor dan Dato' Menteri Besar Selangor ke dalam dewan hinggalah keberangkatan sultan meninggalkan majlis. Majlis dijalankan penuh dengan protokol dan adat-istiadat istana. Selesai saja raptai, kami dilepaskan hampir setengah jam untuk bersarapan di luar dewan sebelum dipanggil semula masuk untuk persediaan majlis sebenar.


VVIP dan dif kehormat semuanya tiba lebih kurang jam 11 pagi. Mereka diarak masuk diiringi pasukan pemegang bendera dan muzik iringan. Setibanya sultan di kerusi baginda, terus disambut nyanyian lagu Selangor beramai-ramai dengan penuh semangat dan bacaan ikrar yang diketuai oleh atlet angkat berat. Majlis seterusnya disusuli pula dengan ucapan dari YB Amirudin Shari selaku Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor.


Berakhirnya ucapan YB Amirudin Shari, maka bermulalah secara rasminya slot yang dinantikan iaitu penyerahan bendera Selangor yang disampaikan oleh Sultan Selangor sendiri kepada Ketua Kontinjen Selangor. Dan lama juga kelihatan ketua kontinjen mendengar pesanan dari mulut Sultan sendiri semasa bendera tersebut beralih tuan. Beradanya panji merah kuning tersebut di tangan ketua kontinjen, maka bermulalah sudah episod perjuangan team Helang Putih yang bakal menggegarkan negeri Sarawak hujung bulan ini. Dan selepas itu, nyanyian "Lagu Selangor Cemerlang" bergema memecah kesunyian suasana di dalam dewan tersebut.


Alhamdulillah, selesai saja nyanyian maka berakhirlah secara rasminya majlis penyerahan bendera. Dan keberangkatan Sultan Selangor, Raja Muda Selangor, Tunku Laksamana Selangor, Dato' Menteri Besar serta VVIP yang lain meninggalkan majlis menuju ke Padang MPAJ (bahagian luar dewan) untuk menyambut dan meraikan hampir berpuluh ribu rakyat Selangor yang menghadiri rumah terbuka Aidil Fitri Kerajaan Negeri Selangor. Sempat baginda Sultan beramah mesra dengan setiap pegawai, jurulatih dan atlet yang terlibat semasa keberangkatan baginda meninggalkan majlis. Dikhabarkan secara rasmi semasa ucapan YB tadi, Raja Muda Selangor bakal mencemar duli turun padang di lokasi kejohanan di Sarawak nanti. Moga dengan kehadiran baginda dapat menaikkan lagi semangat kesukanan atlit-atlit Selangor yang akan beraksi nanti. InsyaAllah.



Seusai majlis berakhir, kesemua Pegawai Pengurus Pasukan dan Jurulatih dijemput untuk terus ke khemah yang disediakan untuk menikmati jamuan Rumah Terbuka Aidil Fitri Kerajaan Selangor. Untuk para atlet pula telah siap dibekalkan makanan setiap seorang untuk dijamah. 




Selesai mengalas perut dengan menu hari raya, semua atlit jurulatih dan pengurus pasukan Team Silat diminta untuk berhimpun kembali di dalam dewan untuk bergambar bersama Presiden PESAKA Selangor, Tn. Haji Sulleh Udin dan mendengar sedikit amanat dan beberapa patah kata dari beliau.






Alhamdulillah, semuanya selesai sekitar jam 2 petang. Kesemua atlit selangor terpaksa berhimpit 2 buah bas yang akan membawa mereka terus ke Pusat Akuatik Selangor sebelum masing-masing akan berpecah mengikut sukan dan jurulatih memasing.

p/s: 6 tahun yang lalu aku menghadiri Majlis Penyerahan Bendera SUKMA sebagai seorang atlit. Tahun ini aku berpeluang menghadirinya sebagai Jurulatih. Berbeza sungguh rasanya dan atlit mungkin tak tahu bebanan dan janji pingat yang terpikul di bahu Jurulatih tapi hakikatnya berat sungguh tangungjawab yang dipikul. Belum dikira kerenah atlit-atlit lagi nak dilayan. Moga Allah SWT beri kekuatan buat kami, Jurulatih yang diuji disaat-saat akhir dengan macam-macam masalah di ambang SUKMA menjelang. Amin. 

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...