Pasca BREXIT

Assalamualaikum w.b.t.

Rentetan dari post sebelum ini, sedikit perkongsian mengenai Pasca-Brexit yang dikongsikan dari FB Page Peduli Ekonomi. Nak rujuk link boleh. Nak baca kat bawah ni pun boleh. Apa pun catatan di bawah di ambil direct dari link tersebut. Jom baca dan pastikan korang peka dengan isu semasa ini. Senang sikit nak bawak sembang dengan orang dewasa bila time beraya rumah orang nanti. Haha. Malas nak baca pepanjang, boleh baca ayat yang telah di'bold'kan. Itu semua antara point penting! :D



13 Perkara Yang Anda Perlu Tahu PASCA BREXIT

1. Dalam sebuah referendum atau pungutan suara yang diadakan di United Kingdom (UK) pada hari Khamis, 23 Jun 2016 yang lalu, 51.9% rakyat UK telah memilih untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (European Union atau EU), berbanding 48.1% yang memilih untuk kekal. Dari segi jumlah undi, 'Brexit' atau undian untuk keluar daripada EU mendapat majoriti undi sebanyak 1.27 juta undi. 263 kawasan di UK juga telah mengundi untuk keluar daripada EU, berbanding hanya 119 yang mahu terus bersama EU. (Rujuk infografik “10 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang BREXIT” dalam post terdahulu).

2. Berdasarkan analisis keputusan referendum tersebut, anak muda, golongan berpendidikan dan golongan elit kebanyakannya memilih untuk kekal dalam EU. Manakala golongan miskin, pekerja dan warga emas memilih untuk keluar daripada EU. Dari segi pola geografi pula, hanya Greater London, Scotland dan Northern Ireland sahaja yang jelas menunjukkan keinginan untuk kekal di dalam EU. Kawasan lain di England dan Wales memilih untuk meninggalkan EU.

3. Setelah keputusan referendum tersebut diumumkan pada hari Jumaat yang lalu (24 Jun 2016), David Cameron telah mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri UK menjelang Oktober ini. David Cameron dari Parti Konservatif merupakan penyokong tegar kempen “Remain” iaitu supaya UK kekal dalam EU. Beliau meletakkan jawatan kerana merasakan beliau tidak lagi sesuai memimpin negara yang telah memilih hala tuju yang berbeza daripada pendirian beliau seperti petikan ucapan beliau, “I do not think it would be right for me to be the captain that steers our country to its next destination”. Calon yang paling berkemungkinan untuk menggantikan beliau sekarang adalah Boris Johnson, bekas Datuk Bandar London yang juga antara orang paling kuat memperjuangkan 'Brexit'.

4. Pada masa yang sama, Bank of England telah bertindak untuk menyediakan GBP250 bilion untuk memastikan kestabilan pasaran kewangan di UK pasca keputusan Brexit. Mark Carney, gabenor Bank of England sebelum ini telah memberi amaran Brexit berpotensi menjadikan UK jatuh ke dalam kegawatan ekonomi. Pada masa yang sama, syarikat penarafan kredit Moody's telah memotong prospek negara UK daripada stabil kepada negatif.

5. Oleh sebab referendum merupakan sebuah pungutan suara yang tidak mengikat di sisi undang-undang, maka Kabinet kerajaan UK perlu membawa usul keluar dari EU untuk diluluskan oleh Parlimen. Kemudian kerajaan UK perlu melaksanakan Artikel 50 Lisbon Treaty untuk memulakan proses keluar daripada EU. Proses ini dijangka mengambil masa selama sekurang-kurangnya 2 tahun, di mana sepanjang tempoh ini, UK masih perlu mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh EU. Namun, UK tidak akan dibenarkan untuk mengundi atau bersuara.

6. Presiden Parlimen EU, Martin Schulz adalah antara pemimpin utama EU mengeluarkan kenyataan yang tegas bahawa UK perlu menyegerakan proses untuk keluar daripada EU. Beliau berpandangan bahawa tindakan David Cameron untuk menggunakan Artikel 50 setelah selesai peletakan jawatan beliau pada Oktober nanti adalah tidak wajar kerana penangguhan hanya akan memburukkan lagi ketidak tentuan ekonomi, yang berpotensi menjadikan ekonomi EU secara keseluruhannya semakin parah.

7. Pada hari yang sama keputusan Brexit diumumkan, nilai Great Britain Pound (GBP) berbanding US Dollar (USD) telah jatuh sebanyak 8.1% manakala nilai GBP berbanding Malaysian Ringgit (MYR) pula jatuh sebanyak 4.0%. Nilai GBP berbanding Japanese Yen (JPY) juga turut jatuh iaitu sebanyak 11.4%, manakala harga emas melonjak naik sebanyak 4.0% dalam tempoh beberapa jam sahaja. Selain itu, di seluruh pasaran saham sedunia seperti FTSE, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI), Dow Jones, Nikkei, Straits Times Index (STI), telah jatuh merudum pada hari Jumaat lepas. Di seluruh dunia, pelabur kerugian sebanyak USD2 trillion dalam sehari disebabkan Brexit.

8. Kejatuhan nilai GBP berbanding USD dan JPY, serta kenaikan mendadak harga emas adalah disebabkan oleh aliran keluar matawang daripada negara UK. Dalam keadaan ketidak tentuan ekonomi pasca Brexit, para pelabur di UK telah ‘melarikan’ wang mereka ke “safe haven” (pelaburan selamat), dan pilihan utama bagi pelabur adalah pasaran US, Jepun dan juga emas.

9. Keputusan Brexit juga menyaksikan nilai Ringgit (MYR) telah jatuh berbanding nilai US Dollar sebanyak 1.9%. Punca utama kejatuhan ini berlaku ialah kerana kenaikan nilai USD, bukannya disebabkan oleh kesan langsung Brexit ke atas ekonomi domestik Malaysia. Hal ini disokong dengan kenaikan nilai MYR berbanding GBP sebanyak 4.0%, dan juga berbanding IDR (Rupiah) sebanyak 0.8% pada hari yang sama.

10. Selain kesan ekonomi seperti yang disebutkan di atas, Scotland dan Northern Ireland juga berkemungkinan akan membuat referendum untuk keluar daripada UK, dan seterusnya kekal di dalam EU. Hal ini dibuktikan dengan sokongan jelas oleh warga Scotland dan Northern Ireland yang telah mengundi “Remain” semasa referendum tersebut; serta kenyataan dari Ketua Menteri Scotland, Nicola Sturgeon dan Timbalan Ketua Menteri Northern Ireland, Martin McGuinness.

11. Dalam aspek perdagangan antarabangsa pula, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan bahawa Malaysia berkemungkinan akan memulakan perbincangan untuk mewujudkan hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan UK. Langkah yang sama juga akan diambil oleh negara-negara lain.

12. Risiko terbesar Brexit kepada Eropah kini adalah jika semakin banyak negara anggota lain yang turut ingin keluar daripada EU, terutamanya negara-negara besar seperti Jerman, Perancis, Sepanyol, Belanda dan Itali. UK merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada bajet kewangan EU. Dalam sistem pasaran kerjasama ekonomi seperti EU, negara yang saiz ekonominya lebih besar selalunya akan menjadi penyumbang untuk menampung ekonomi negara yang lebih miskin. Maka tindakan UK keluar daripada EU akan meningkatkan lagi sentimen sedemikian terutamanya di kalangan 'Euroskeptics' (anti-EU) yang populariti mereka semakin meningkat pasca Brexit.

13. Pada masa yang sama, adalah tidak mustahil Brexit dapat memberikan kesan positif kepada ekonomi UK untuk jangka panjang kerana BREXIT memberikannya kelebihan dari segi autonomi. Namun ia bergantung kepada kebolehan dan kemampuan kerajaannya untuk mewujudkan polisi dan strategi yang lebih mapan berbanding EU pasca Brexit yang bakal mempunyai 27 buah negara anggota yang masih menjadikannya sebuah blok ekonomi yang besar dan utama di peringkat pasaran global.

Peduli Ekonomi
27 Jun 2016
Sumber ASAL boleh klik SINI

Comments